Beri bukan Melayu peluang - Utusan Malaysia

Beri bukan Melayu peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 27 Julai – Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub meminta orang Melayu tidak bimbang dengan keputusan Kerajaan Pakatan Harapan melantik bukan Islam memegang jawatan penting.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, ini kerana individu seperti Lim Guan Eng yang kini menyandang jawatan Menteri Kewangan telah memberi jaminan untuk membaiki pertadbiran negara.

“Guan Eng menyatakan beliau akan membongkar kes penyelewengan yang berlaku dan Peguam Negara, Tommy Thomas pula berjanji tidak akan ada kes pendakwaan terpilih,” katanya di sini hari ini.

Salahuddin berkata, orang Melayu juga tidak perlu bimbang walaupun jawatan Ketua Hakim Negara kini bukan disandang oleh umat Islam.

“Sepanjang tempoh tiga bulan ini, tidak cukup untuk mengatakan kami (pemimpin) Pakatan Harapan mengamalkan liberal,” katanya.

Dalam soal ini, beliau mahu rakyat negara ini memberi peluang kepada individu yang boleh melaksanakan tugas dengan baik.

“Belum ada sejarah orang bukan Melayu boleh memusnahkan negara kita. PH pentingkan integriti, jadi beri peluang mereka lakukan perubahan,” katanya.

Mengulas mengenai industri pertanian negara yang masih ketinggalan, Salahuddin berkata, perkara berkenaan disebabkan negara ketinggalan dalam soal teknologi.

“Oleh itu kita memerlukan sebuah universiti yang menjadi teras membimbing golongan petani seperti di Taiwan dan Belanda. Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai contoh, mesti kembali kepada asas ini (pertanian),” katanya.

Menurut beliau, sekiranya sebuah universiti baharu memfokuskan penyelidikan bidang pertanian mahu dibina, ia memerlukan belanja besar mencecah RM2 bilion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN