KUALA LUMPUR 24 Julai – Tindakan beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat komen berhubung kes seorang ibu tunggal, Maya Ahmad Fuaad yang didakwa membuat laporan palsu telah menyebabkan kes itu dibicarakan melalui media.
Menurut kenyataan akhbar oleh firma guaman, Tetuan Gerard Samuel & Associates yang mewakili bekas suami wanita itu, komen serta gesaan agar Jabatan Peguam Negara menyemak semula pertuduhan yang dikenakan terhadap wanita itu turut mengakibatkan reputasi anak guamnya terjejas.
Carian di internet mendapati Maya yang merupakan anak bekas pegawai kanan syarikat penerbangan telah berkahwin dengan Hisham Halim, anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan terkemuka dan dikurniakan dua anak perempuan.
Pada 16 April lalu, Maya didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan memberi maklumat lisan yang diketahui dan dipercayai palsu kepada anggota polis untuk menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasa sah terhadap K. Mathurai Veran yang merupakan pemandu bekas bapa mentuanya di Balai Polis Kota Damansara pada 30 Jun 2016.
Pertuduhan ke atas wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Kes itu akan disebut semula pada 3 September ini.
“Tindakan melakukan perbicaraan dalam media tidak boleh dibiarkan. Adalah penting bagi mahkamah menjalankan tugas dan tanggungjawab tanpa tekanan oleh mana-mana pihak. Keadilan perlu diperoleh melalui undang-undang,” ujar kenyataan tersebut.
Oleh yang demikian, firma guaman tersebut memberitahu, anak guam mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terus membuat kenyataan atau komen terhadap kes tersebut bagi melindungi diri dan anak-anaknya.










