Berganding bahu tangani kos sara hidup - Utusan Malaysia

Berganding bahu tangani kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULIS difahamkan selepas pengumuman kerajaan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar bermula pada 1 Jun lalu, ramai yang berpusu-pusu membeli kereta. Harga kereta dilaporkan begitu murah. Maklumlah, GST sifar manakala tiada pula cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).

Menurut beberapa sahabat penulis, peluang ini perlu direbut secepat mungkin kerana harga kereta dijangka berubah setelah SST dilaksanakan semula bermula 1 September kelak. Bayangkan kini GST berkadar sifar, sudah tentulah harga kereta menurun lebih banyak lagi berbanding GST enam peratus dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei yang lalu dan sebelum itu SST berkadar 10 peratus. Jadi, tidak hairanlah ramai yang membeli kereta pada masa kini.

Penulis bukan peminat kereta. Kereta yang ada pun masih ada beberapa bulan lagi untuk dibereskan hutangnya. Maka, penulis tidak bercadang menukar kereta baharu. Tidak seperti mana penulis, sebahagian daripada rakan-rakan penulis begitu gemar menukar kereta.

Mereka amat berminat dengan kenderaan. Golongan seperti ini dan mereka yang sememangnya ingin menukar kereta atau membeli kereta baharu buat pertama kali pastinya mengambil peluang keemasan ini. Bukan se­nang untuk mendapatkan peluang seperti ini. Rakyat akan mengambil peluang yang ada untuk membeli apa sahaja yang murah untuk keperluan mereka.

Misalnya, baru-baru ini, penulis mengambil peluang membeli durian berjenama Musang King di Pahang. Kebetulan berada di situ untuk menghadiri kenduri kahwin saudara terdekat. Penulis mengambil peluang membeli durian jenama terkemuka tersebut kerana harganya begitu murah berbanding sebelum ini.

Sekilogram hanya RM27 berbanding sebelum ini rata-rata harganya mencecah RM60 sekilogram. Kalau har­ganya RM60 sekilogram, pastinya penulis tidak terfikir langsung untuk membelinya. Dilaporkan juga bahawa harga durian jatuh mendadak kerana faktor lambakan durian yang berla­ku serentak di kebanyakan negeri pe­ngeluar durian di Malaysia.

Pada harga murah sebeginilah ra­­mai penggemar du­rian akan membeli durian untuk menikmati kelazatan raja buah tersebut.

Inilah yang akan dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Apabila harga berada pada paras yang murah, mereka akan membe­linya.

Apabila harga meningkat begitu tinggi, mereka akan berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan pembelian. Kalau barang tersebut begitu penting dalam kehidupan, maka mahu tak mahu terpaksalah dibelinya.

Namun, jika tidak begitu penting, keputusan pembe­lian akan ditunda buat sementara waktu sehinggalah harga barangan tersebut mengalami penurunan.

Asasnya mudah. Sesiapa sahaja akan berminat mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang murah.

Lebih-lebih lagi bagi barangan dan perkhidmatan yang jarang sekali dibeli kerana berjenama dan mahal tetapi mengalami penurunan harga yang begitu mendadak atas faktor-faktor tertentu akan merangsang pembelian oleh sesiapa sahaja.

Dengan kata mudah, harga yang murah, mengurangkan perbelanjaan mereka. Mengurangkan perbelanjaan bermaksud wang lebihan boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih mustahak.

Perbelanjaan yang berkurangan seiring dengan kos sara hidup yang rendah dan murah. Rata-rata, kos sara hidup di bandar-bandar besar lebih mahal daripada kos sara hidup di pekan-pekan kecil. Maka, mereka yang menetap di bandar-bandar besar memerlukan pendapatan yang lebih tinggi berbanding mereka yang menetap di pekan-pekan kecil atau kawasan luar bandar.

Jadi, mereka yang menetap di bandar-bandar besar memerlukan pekerjaan yang menawarkan pendapatan tinggi jika mahukan kehidupan yang lebih selesa. Bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 sebulan akan berasa lebih selesa menetap di kawasan luar bandar berbanding menetap di bandar-bandar besar.

Meningkatkan pendapatan adalah salah satu cara untuk membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih selesa. Namun, peningkatan pendapatan berkemungkinan tidak begitu ketara jika hanya mengharapkan gaji meningkat melalui satu pekerjaan semata-mata.

Mereka ini perlu juga mencari pelbagai sumber pendapatan untuk membolehkan pendapatan meningkat daripada sebelum ini. Dengan kata mudah, bekerja dengan lebih giat lagi bagi menambah sumber pendapatan. Rajin bekerja juga akan meningkatkan produktiviti seseorang.

Dengan produktiviti yang lebih tinggi maka, lebih ba­nyak pengeluaran akan dapat ditingkatkan. Jumlah pengeluaran yang banyak akan membolehkan kos pengeluaran diturunkan. Inilah yang berlaku pada harga durian pada masa kini.

Pengeluaran yang banyak telah mengurangkan harga durian. Jadi, selain meningkatkan pendapatan, produktiviti juga perlu ditingkatkan pada tahap tertinggi. Pada masa yang sama, ekonomi negara secara keseluruhan perlu ditadbir urus dengan sebaik mungkin.

Misalnya, kedudukan kadar mata wang Ringgit Malaysia berbanding mata wang asing perlu sentiasa kukuh dan menangani isu kenaikan harga barangan dan per­khidmatan secara cekap dan berkesan agar kuasa beli pengguna sentiasa tinggi. Pokok pangkalnya, kos sara hidup perlu ditadbir urus dengan baik dengan mencari punca sebenar dan menanganinya secara tuntas.

Ini perlu melibatkan semua pihak.

Bukan setakat melibatkan para pemimpin melalui strategi-strategi menanganinya tetapi juga rakyat marhaen memiliki peranan tersendiri dalam hal ini. Berganding bahu bersama-sama akan menjadikan kehidupan rakyat Malaysia lebih sejahtera dan selesa di bumi bertuah ini.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN