Berdikari bukan memberontak - Utusan Malaysia

Berdikari bukan memberontak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GRAF POPULARITI si jelita ini mula naik mencanak apabila dia muncul membintangi drama hangat Mencintaimu Mr. Photographer bersama Syafiq Kyle.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berjaya memikat mata dan hati penonton menerusi naskhah itu, Hannah Delisha seakan tidak perlu menunggu lama untuk meyakinkan peminat bahawa dia mampu menjadi antara pelapis pelakon yang berkualiti di negara ini.

Biarpun asal dirinya bukanlah dari sini, Hannah kuat memegang kepercayaan bahawa peluang dan rezekinya tidak semestinya terhad hanya di Singapura lantaran Malaysia juga begitu dekat di hatinya.

Namun, entah kenapa sejak sibuk membina kerjayanya di sini, Hannah dikritik kononnya sudah tidak pandang tawaran lakonan di Singapura.

Tidaklah tergamak mahu menuduh Hannah sekarang sudah semakin sombong menongkat ke langit. Namun, andai tidak betul apa yang diperkatakan itu, barangkali empunya diri ada penjelasan tersendiri.

Mengaku kerjaya seninya semakin diterima baik di sini, pelakon ini bagaimanapun tidak pernah meluahkan kenyataan sebagaimana yang didakwa.

“Sebenarnya saya terbuka kepada apa sahaja tawaran yang bersesuaian. Tetapi, setiap kali ada tawaran daripada produksi di Singapura, ia tidak kena dengan jadual saya.

“Masalah seperti ini bukan hanya di Singapura sahaja, sama juga di sini. Kalau tidak kena dengan jadual yang telah diatur, saya tak boleh buat apa, tambahan lagi kalau tawaran itu datang pada minit terakhir.

“Jangan pula ada yang salah faham dan kata saya tidak mahu berlakon di Singapura sebab tamak berlakon di sini. Itu satu dakwaan yang tak boleh saya terima,” katanya.

Hidup berdikari

Sepanjang mengenali Hannah sejak dia mula melibatkan diri secara serius dalam industri hiburan tanah air, ibunya Noor Ashikin Ahmad sentiasa menemaninya ke mana-mana sahaja.

Secara tidak langsung bertindak sebagai pengurus, kata Hannah, memandangkan dia juga merupakan anak tunggal dalam keluarga, ibunya tidak pernah membiarkan Hannah bersendirian walaupun kini sudah punya kerjaya sendiri.

“Sejak kecil sampailah dah kerja, saya ni ibarat tak pernah berenggang dengan dia. Ke mana sahaja dengan ibu sehinggalah awal April lalu saya berbincang dengan dia dan nyatakan hasrat mahu hidup berdikari di sini.

“Bagi saya, sudah tiba masanya untuk hidup sendiri tidak bergantung dengan ibu lagi. Bukan kerana saya ni sedang memberontak jiwa. Istilah berontak memberikan makna yang lain.

“Kalau berontak, saya tentu tidak akan memikirkan soal kerjaya dan cuma mahu berseronok sahaja. Kalau saya ni kononnya memberontak, rasanya orang yang paling pening kepala tentulah pengurus saya selain ibu,”katanya.

Memasang niat untuk belajar erti hidup berdikari, Hannah tahu mana-mana ibu di dunia ini pastinya akan berasa bimbang untuk melepaskan anaknya apalagi mengetahui dunia sekarang punya banyak pancaroba.

“Walau sekali pun hatinya tidak mahu, saya percaya ibu harus belajar melepaskan. Ini adalah masa yang terbaik, tak akan nak tunggu saya berkahwin barulah nak belajar erti berdikari. Andai usia saya 16 tahun, mungkin saya faham ibu tak beri izin,” katanya.

Tidak terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan, kata Hannah, dia adalah seorang yang anti sosial dan lebih sukakan ruang privasi sendiri apabila punya waktu lapang.

“Waktu kerja saya sudah banyak ‘memakan’ ruang untuk saya bersosial. Jadi bila tiba waktu untuk bercuti, lebih baik saya berehat.

“Ibu pun sudah pesan macam-macam dan akan saya ingat setiap kata nasihatnya itu. Rindu itu sentiasa ada pada dia dan keluarga, tetapi biarkan saya belajar hidup sendiri, lakukan kesilapan dan tahu erti hidup yang sebenar.

“Semua ini akan memberi lebih makna pada diri saya satu hari nanti,” katanya.

Hannah Delisha tidak tamak

Menganggap rezeki ada di mana-mana dan berpegang pada kepercayaan Tuhan Maha Kaya, Hannah Delisha yang kebelakangan ini sibuk menjalani penggambaran untuk projek drama dan telefilem tempatan menolak andaian bahawa dia terlalu mengejar wang dan kekayaan di usia muda.

Sempat tertawa kecil, wanita berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini tidak bersetuju dengan pandangan itu yang mana baginya, barangkali ia boleh ditujukan kepada orang lain dan bukan dirinya.

“Kalau betul saya ni tamak mahu kejar semata-mata wang, kenapa saya tidak ambil banyak tawaran dalam 
satu masa? Sesiapa yang mengenali pasti tahu yang 
saya tidak akan ambil beberapa tawaran dalam satu 
masa.

“Ini kerana saya tak yakin mampu memberikan yang terbaik untuk sesebuah projek kalau semuanya mahu diambil serentak. Tak boleh bayang kalau ia berlaku, rasa macam badan ni terbelah dua kalau semuanya saya nak buat dalam satu masa. Itu yang orang kata tamak?” tanya Hannah kehairanan.

Sengaja mengusik wanita ini tidakkah dia berasa rugi memandangkan namanya sedang di puncak populariti dan ada sesetengah artis atau selebriti pastinya akan meraih peluang ini dengan penuh keghairahan.

Percaya bahawa andai niatnya masuk ke dalam industri benar kerana minat dan bakat, Hannah menolak untuk berlaku tamak dan sedikit pun tidak berasa ianya merugikan.

“Saya tahu, usia mudalah patut berusaha cari duit banyak-banyak sementara ada peluang. Tapi janganlah lupa, apa pun rezeki datangnya dari Dia yang di atas juga, dari keizinan-Nya juga.

“Tak apalah kalau ada orang lain yang suka dengan cara itu, tetapi tidak saya. Kalau ambil banyak tawaran berlakon sekali gus, nanti yang pening kepala dan kena kecam sebab berlakon tak ada kualiti pun saya juga,”kata jurucakap produk Nivea dan telefon pintar HUAWEI nova 2i ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN