Bengkel KV Tanah Merah terbakar - Utusan Malaysia

Bengkel KV Tanah Merah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH 26 Jun – Sebuah bengkel di tingkat satu Kolej Vokasional (KV) Tanah Merah di sini terbakar kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku kerana semasa kejadian sesi persekolahan masih belum bermula.

Menurut seorang guru, Rosdi Mohamed, 51, berkata, dia terhidu bau asap ketika menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh kira-kira pukul 5.55 pagi sebelum segera memasuki kawasan kolej berkenaan untuk memeriksa ya.

Katanya, ketika itu, dia melihat api di tingkat atas bangunan berkenaan yang turut menempatkan bengkel kosmetologi, seni reka fesysen dan pengajian awal kanak-kanak.

“Saya bersama pegawal keselamatan cuba memadam kebakaran itu menggunakan pemadam api tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak sebelum membuat panggilan kecemasan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah.

“Kita percaya kebakaran membabitkan bangunan berusia hampir 29 tahun itu berlaku ketika azan subuh masih kedengaran dari masjid yang terletak berdekatan kolej,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Rosdi berkata, mengikut jadual asal bengkel itu digunakan bagi menjalani peperiksaan diploma kemahiran tahap empat yang dijangka berakhir hari ini.

Difahamkan kebakaran itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000 dan turut memusnahkan sebahagian besar peralatan pengajian dan pembelajaran serta dokumen penting lain.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohd, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 6.10 pagi

Beliau berkata, dua jentera dari Tanah Merah dan dibantu sebuah jentera dari Machang dikejarkan segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×