Benarkah pelajar tahfiz berfikiran jumud? - Utusan Malaysia

Benarkah pelajar tahfiz berfikiran jumud?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita sudah tentu bersedih apabila ada pemikir-pemikir dan aktivis dalam kalangan orang Islam mengesyorkan agar pendidikan agama tidak diinstitusikan. Bagi mereka, persoalan agama merupakan ‘kebebasan individu’, maka masyarakat dan negara tidak boleh campur tangan. Ia merupakan tanggungjawab individu itu sendiri, sama ada beriman atau sebaliknya.

Atas dasar skeptisisme agama sebegini menyebabkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berusaha keras mempertahankan cadangannya agar sekolah-sekolah tahfiz dimansuhkan.

Bagi beliau, akibat menumpukan pelajaran menghafaz al-Quran, para pelajar tidak mempunyai masa depan yang lebih baik manakala penubuhan pusat tahfiz telah membangkitkan pelbagai persoalan dan masalah.

Sekolah-sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh orang perseorangan, telah memperjudikan masa depan para pelajarnya kerana apa yang diketahui oleh lulusannya ialah menghafaz al-Quran. Para pelajar tidak dibekalkan dengan lain-lain ilmu sama ada bersifat akademik, vokasional dan kemahiran.

Ada juga sekolah-sekolah tahfiz didirikan atas tanah yang diwakafkan. Selepas beberapa tahun beroperasi, ia menimbulkan pertikaian kerana sama ada waris pemilik asal tanah berkenaan menuntutnya kembali ataupun pihak pengurusan sekolah merasakan tidak lagi mampu menampung perbelanjaan bulanan yang terus meningkat.

Sekolah-sekolah tahfiz milik persendirian turut mengabaikan keselamatan para pelajar. Akibat­nya, sekolah-sekolah tahfiz um­pa­ma ‘perangkap yang disenga­jakan’. Ia bukan sahaja boleh ‘mem­bunuh pelajar’ bahkan ada ketikanya berbuat salah dengan mengeksploitasi para pelajar untuk mengutip derma ataupun menjual barangan tertentu atas nama ‘dana pendidikan dan tabung pembangunan sekolah’.

Bagaimanapun, pandangan tersebut hanya bersifat peribadi dan tidak boleh dijadikan asas kukuh untuk menutup sekolah-sekolah tahfiz. Namun cadangan tersebut telah ditolak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Bagi beliau, cadangan itu tidak mempunyai merit yang kukuh dan data kajian sahih. Ia hanya bersandarkan persepsi peribadi yang mungkin dibingkaikan oleh skeptisisme agama.

Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan cadangan tergesa-gesa dan terlalu simplistik. Kalau pun beliau cenderung melihat sekolah-sekolah tahfiz ada kelemahan yang jelas, ia perlukan kepada kajian yang mendalam untuk mengenal pasti apakah kemunculan sekolah-sekolah tahfiz secara mutlaknya membina ‘minda tertutup’ sehingga para pelajarnya cenderung ekstremis?

Menghafaz al-Quran bukanlah saperti menghafal buku-buku. Untuk membolehkan seseorang bergelar hufaz, ia memerlukan disiplin tinggi dan sepanjang pembelajarannya perlu kepada keku­atan memori dan tertib ter­tentu. Ia berbeza dengan meng­hafal buku. Menghafal buku tidak memerlukan prasyarat pem­ber­sihan diri dan disiplin susila yang tinggi.

Menghafal buku dianggap memadai sekiranya seseorang itu boleh menguasai abjad sedangkan menghafaz al-Quran perlukan tertibnya kerana setiap tanda yang terdapat di setiap abjad mempunyai maksud yang berbeza. Sebab itulah proses menghafaz al-Quran memerlukan masa yang lama dan tunjuk ajar yang jelas.

Setakat ini, dianggarkan lebih 1,000 sekolah tahfiz di seluruh negara. Sekitar 60 peratus telah mendaftar dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Persekitaran dan kemudahan sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar sedikit sebanyak mendapat bantuan kerajaan dan kerana itulah sebahagian daripada masyarakat bukan Islam mula melontarkan pandangan curiga, sekolah-sekolah tahfiz bakal menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat.

Sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan bantuan one off kepada sekolah-sekolah tahfiz sama ada daripada bantuan pembangunan mahupun peruntukan dana pengurusan. Bagi mereka, apabila Dasar Pendidikan Tahfiz Kebangsaan (DPTK) diluluskan, ia bakal diiktiraf sebagai satu bentuk sistem pendidikan yang sah.

Ia berbeza dengan sekolah-sekolah vernakular yang sukar memperoleh bantuan kerajaan sekiranya tidak sealiran dengan kurikulum kebangsaan.

Kepakaran

Sekolah-sekolah vernakular swasta mengendalikan peperiksaan berdasarkan kurikulum khusus tidak diiktiraf kerajaan untuk memasuki perkhidmatan awam ataupun melanjutkan pelajaran dalam negara. Bagi lulusan pusat tahfiz menerusi DPTK, lulusannya bukan sahaja diterima melanjutkan pelajaran di luar negara, bahkan diterima masuk di dalam institusi pendidikan tinggi kerajaan.

Sebab itulah bukan Melayu terus mendesak agar kerajaan mengiktraf sijil UEC yang dikelolakan oleh badan-badan pendidikan persendirian Cina. Pengiktirafan UEC yang diberikan pada tahun ini, bakal menimbulkan polemik lebih besar. Kurikulum pendidikan swasta Cina menggunakan kurikulum import dan mengetepi bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

Ia berbeza dengan kurikulum sekolah-sekolah tahfiz, kebanyakanya dikendalikan dalam bahasa kebangsaan walaupun bahasa al-Quran itu adalah bahasa Arab. Boleh dikatakan proses komunikasi antara guru dengan pelajar dalam kalangan pelajar berlangsung dalam bahasa Melayu.

Hampir kesemua pelajar sekolah tahfiz berbangsa Melayu dan beragama Islam. Hanya sebilangan kecil sahaja pelajar sekolah tahfiz bukan dalam kalangan Melayu.

Sepatutnya bagi setiap ibu bapa yang cenderung menghantar anak-anaknya ke sekolah tahfiz perlu menyemak terlebih dahulu kedudukan sekolah-sekolah terse­but sebelum membuat keputusan. Sekolah-sekolah yang dipilih itu mestilah berdaftar secara sah sama ada dengan Kementerian Pendidikan ataupun Jabatan Agama Islam Negeri.

Sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar akan mendapat bantuan dan penyeliaan lebih baik daripada pihak berkuasa. Sekolah-sekolah tersebut juga lebih terjamin dari segi keselamatan para pelajar, termasuklah pemeriksaan berkala mengenai keselamatan penggunaan alatan elektrik dan aktivitinya lebih tersusun.

Melalui DPTK para pelajar bukan sahaja belajar menghafaz al-Quran bahkan beberapa mata pelajaran akademik, kemahiran dan vokasional boleh diintegrasikan ke dalam kurikulumnya.

Sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar akan dapat diselaraskan mengenai sistem perjawatan manakala guru-guru yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pedagogi boleh dilatih. Ia bakal meningkatkan kualiti guru menjadi tenaga kerja professional.

Memansuhkan sekolah-sekolah tahfiz bukanlah satu tindakan bijak tetapi mengintegrasikan pendidikan tahfiz dengan kurikulum kebangsaan boleh menjadikan lulusannya setanding dengan hasrat melahirkan generasi ulul-albab. Generasi ulul-albab bukan sahaja mahir menguasai ilmu-ilmu Islam bahkan mempunyai kemampuan bersaing dengan lulusan pendidikan sekular.

Tentunya generasi ulul-albab inilah yang bakal membangun peradaban baharu yang lebih besar dan berdaya tahan kerana mereka berjaya membudayakan nilai-nilai keimanan dalam diri sendiri.

Ini penting untuk melangkah lebih jauh dalam pasaran pekerjaan dan seterusnya mengekang pelbagai ancaman moral serta kebejatan sosial yang lahir daripada sistem pendidikan sekular yang terlalu menekan nilai material.

Penulis ialah Pengarah Kanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN