Belum terjamin ke Sukan Asia 2018 - Utusan Malaysia

Belum terjamin ke Sukan Asia 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUANG penjaga gol skuad hoki negara, Mohammad Hairi Abd. Rahman ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bulan depan masih belum terjamin meskipun terpilih menyertai siri Jelajah Australia bermula esok hingga 3 Ogos ini.

Pemilihan Hairi, 28, dalam barisan 20 pemain menghadapi lima aksi persahabatan menentang Australia di Institut Sukan Australia (AIS), Perth merupakan kali kedua selepas dia turut terpilih menyertai siri Jelajah Argentina sebelum ini.

Bagaimanapun, Hairi enggan terlalu awal bergembira kerana apa sahaja boleh berlaku memandangkan wujudnya persaingan sihat de­ngan penjaga gol utama, S. Kumar dan pilihan ketiga, Muhammad Hafizuddin Othman.

“Pemilihan masih lagi terbuka kerana ini bukan jaminan 100 peratus saya mendapat tiket ke Sukan Asia 2018. Kemungkinan saya tidak ke Sukan Asia 2018 tetap ada walaupun saya terpilih ke Australia.

“Saya perlu memberikan prestasi terbaik setiap kali diberikan peluang bermain di Australia nanti. Cuma pemilihan ini positif kerana saya mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan saya kepada jurulatih,” katanya.

Pada masa sama, Hairi mengakui, sukar untuk mendapatkan status sebagai penjaga gawang No. 1 daripada Kumar yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri meskipun tidak bermain lama kerana penggantungan doping sebelum ini.

“Rasanya tempat Kumar sebagai No. 1 akan kekal. Kumar adalah penjaga gol berpengalaman dan walaupun sudah berusia 39 tahun tetapi dia masih mampu mempamerkan permainan terbaiknya.

“Contohnya di Argentina baru-baru ini, sudah lama dia tidak berlatih tetapi dia cukup cemerlang di sana. Itulah yang dikatakan seorang pemain legenda dan saya sangat menyanjungi kemampuannya,” ujar Hairi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN