PADANG RENGAS 9 Julai – Kejayaan Gerakan Belia 4B Padang Rengas terpilih sebagai johan Belia Negara 2018 peringkat negeri merupakan hasil kerjasama rapat ahli-ahlinya dengan masyarakat.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Padang Rengas, Muhamad Hafiz Idris berkata, kejayaan tersebut diharap memberi aspirasi kepada belia lain dalam usaha membangunkan kampung masing-masing.
“Pelbagai aktiviti bermanfaat dilaksanakan selain memberi bimbingan kepada golongan belia menerusi pendekatan keagamaan dan kemasyarakatan.
“Segala gerak kerja yang dijalankan mendapat kerjasama penuh daripada pemimpin tempatan termasuk wakil rakyat,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, menerusi kemenangan tersebut, pihaknya menerima wang tunai RM10,000 bersama trofi yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Lee.
Jelasnya, kejayaan yang dicapai itu adalah kesinambungan mereka pada tahun lalu yang cuma memperoleh naib johan dalam kategori sama.
“Antara program yang telah dilaksana setiap bulan melibatkan belia dan penduduk ialah sukan ragbi, bola sepak, sepak takraw, kursus keusahawanan, kebajikan, agama, kerja amal dan sukarelawan.
“Kita akan terus menjalankan aktiviti lain dalam usaha merapatkan hubungan antara masyarakat demi memajukan penduduk kampung sendiri,” katanya.











