AMBIL semula Syarikat Air Johor (SAJ) daripada syarikat swasta, SAJ Ranhill. Itu desakan rakyat Johor kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian hasil daripada satu tinjauan dapatan yang dilakukan dalam media sosial baru-baru ini.
Desakan disuarakan oleh bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu telah mendapat respon positif rakyat Johor yang mahukan kerajaan negeri mengambil alih semula pengurusan air Johor berbanding sekadar memberikan air percuma semata-mata.
Baru-baru ini, Osman telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri bakal memberikan 10 meter padu air percuma kepada hampir 395,000 ribu penerima yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
Apa yang mengejutkan, pengumuman ini kurang mendapat sambutan majoriti rakyat Johor. Mereka merasakan bahawa pemberian 10 meter padu tidak memadai dengan realiti kegunaan sebenar seharian rakyat.
Malah kos pemberian air percuma juga sangat tinggi iaitu RM47.4 juta setahun. Jika sekalipun kerajaan negeri memberikan air percuma, ia sama sekali tidak dapat mengelakkan rakyat daripada membayar bil air yang tinggi akibat tarif air cukup tinggi di Johor.
Umum mengetahui bahawa tarif air Johor dikuasai dan ditetapkan oleh sebuah syarikat swasta, SAJ Ranhill. Sebagai contoh, kadar tarif air untuk penggunaan domestik melambung sebanyak 33 peratus daripada RM0.60 setiap meter padu kepada RM 0.80 setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama.
Dan Johor ialah antara negeri paling tinggi tarif air yang dikenakan terhadap rakyat. Pakatan Harapan (PH) Johor ketika menjadi pembangkang juga menyuarakan isu berkenaan tarif air Johor ini.
Mereka sering mendesak dan menyerang SAJ Ranhill supaya menurunkan kadar tarif air supaya ia tidak membebankan rakyat. Persoalannya, PH kini sudah dipilih memimpin kerajaan negeri, mengapa membisu dalam soal tarif air Johor dan SAJ Ranhill?
Seharusnya langkah bijak perlu diambil Menteri Besar Johor untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh beliau termasuk membeli semula syarikat air Johor.
FIKRI ALLAUDIN
Persatuan Pemikir Muda Johor










