PUTRAJAYA – Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang direman bagi membantu siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret Muhammad Bukhori Md. Roslan membenarkan lelaki berusia 42 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin selepas dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan pasport antarabangsa miliknya diserahkan kepada SPRM sehingga siasatan selesai serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Lelaki berkenaan merupakan pengarah kepada sebuah syarikat yang dipercayai menerima transaksi wang daripada 1MDB sebelum ini direman tujuh hari mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tangkapan berkenaan merupakan kali pertama melibatkan kes 1MDB.
Terdahulu lelaki bergelar Datuk itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.50 pagi ini.
Menurut jurucakap SPRM, suspek telah ditahan pada pukul 9.45 malam 25 Jun lalu di Ibu Pejabat SPRM selepas hadir memberikan keterangan.
Beliau pernah berkhidmat di Bank Negara sebelum bekerja dengan Najib sejak 2009. – K! ONLINE











