KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ilyas Din meninggal dunia pada 10.10 malam tadi, akibat sakit jantung dan komplikasi buah pinggang.
Ilyas, 67, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Datuk Keramat di sini, selepas sembilan hari dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Menurut kenalan rapat Allahyarham, Nor Khairul Anuar Mohamad Nor, Panglima TLDM ke-13 itu dibenarkan pulang oleh pihak hospital petang tadi.
“Saya sendiri yang membawa beliau pulang dari hospital. Kami tiba di rumah selepas Maghrib semalam dan menguruskan segala hal selepas pemergiannya dan juga urusan untuk pengebumian esok,” katanya kepada Bernama.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selayang di sini pada pukul 10 pagi tadi.
Jenazah beliau dimandi dan disembahyangkan di Masjid Khalid Al Walid pukul 7.00 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu dengan diiringi keluarga dan warga TLDM.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Meryam Harun dan tiga anak iaitu Mohd. Azrai, Nurartikah dan Nurameera.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memberitahu Bernama, lebih 70 orang termasuk anggota keluarga dan pegawai TLDM menghadiri pengkebumian itu yang dilakukan mengikut istiadat pengkebumian pegawai kanan TLDM.
Sementara itu, anak kedua Allahyarham Nurartikah, 35, berkata, arwah bapanya adalah seorang yang sangat tegas namun penyayang.
“Arwah sentiasa memberi sokongan kepada ketiga-tiga anaknya dan sentiasa mengingatkan kami supaya sentiasa merendah diri, mengutamakan keluarga walaupun sibuk bekerja. Arwah bapa saya memang seorang yang mempunyai minat mendalam dalam ketenteraan sejak beliau remaja lagi,” katanya.
Ilyas yang dilantik sebagai Panglima TLDM pada 28 April, 2005, memulakan kariernya dalam pasukan keselamatan itu selepas ditauliahkan sebagai pegawai TLDM pada 1 Januari 1972 dengan menyandang pangkat Leftenan Muda dan bersara pada 2006.
Sepanjang kariernya, Allahyarham yang juga digelar “Bapa Kualiti TLDM”, pernah menjawat jawatan Panglima Armada, di mana di bawah pengurusannya Markas Armada TLDM merangkul beberapa anugerah kualiti.
Allahyarham juga faktor pendorong kepada kejayaan Markas Armada memperoleh persijilan MS ISO 9001:2000 pada 2003. – Bernama











