BACHOK 17 Julai – Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok yang juga aktivis masyarakat, Datuk Dr. Ilias Hussin, 66, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, petang tadi.
![]() |
|
ILIAS
|
Allahyarham menghembus nafas terakhir pada pukul 5.25 petang tadi di Wad 2 intan hospital berkenaan disebabkan penyakit barah prostat sejak beberapa minggu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), Allahyarham bertanding di Kawasan Dewan Undangan Negeri Pantai Irama atas tiket Barisan Nasional (BN) namun memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan UMNO Bahagian Bachok yang lalu disebabkan masalah kesihatan.
Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jelawat pada 2004.
Arwah banyak menabur bakti kepada rakyat di peringkat akar umbi terutama petani sepanjang memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) selain berjaya membangunkan perniagaan dan keusahawan sepanjang menjawat jawatan Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Kelantan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.
Jenazah Allahyarham dijangka disemadikan pada pukul 10 malam ini di tanah perkuburan Islam di Teratak Pulai. – UTUSAN ONLINE











