BALING – Lebih 10,000 penduduk di daerah ini bakal menghadapi gangguan bekalan air bersih jika kerajaan negeri Kedah tidak membatalkan kelulusan yang diberikan untuk projek kuari batu kapur di Gunung Pulai di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Gunung Pulai, Mohd. Sabri Mahmood, 51, berkata, dia bimbang kerakusan syarikat kuari terbabit milik Yayasan Islam Negeri Kedah akan menjejaskan Loji Air Sungai Limau yang mengambil sumber air daripada Sungai Ketil.
Menurutnya, lima kampung yang dijangka terjejas akibat projek kuari itu ialah Kampung Tok Bandar, Kampung Pauh Rusa, Kampung Che Wan Yusof, Kampung Tok Saban serta Kampung Sungai Limau.
Gunung Pulai terletak kurang 300 meter dari kediaman penduduk berkenaan.
“Lebihan air daripada sisa kuari itu dikhuatiri akan mengalir ke dalam sungai yang jaraknya hanya dalam lingkungan 100 meter dari Sungai Ketil.
“Air Sungai Ketil itu kemudiannya akan mengalir ke Loji Air Sungai Limau untuk diproses bagi membekalkan air bersih kepada penduduk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.










