IPOH – Seorang wanita kerugian wang tunai RM500 dan sebuah telefon bimbit apabila beg tangannya yang turut menyimpan kad pengenalan dan kad bank dilarikan seorang lelaki di Masjid Al-Muttaqin Bandar Baru Putra di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.10 malam itu, mangsa yang berusia 62 tahun sedang menunaikan solat Isyak di masjid berkenaan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian itu hanya disedari wanita tersebut setelah mendapati beg tangan yang diletakkan di hadapannya hilang selepas selesai solat.
“Mangsa bagaimanapun tidak melihat individu yang melakukan perbuatan tersebut.
“Sebelum mangsa mendirikan solat, dia telah meletakkan beg tangan di hadapannya namun ia hilang selepas dia selesai mengerjakannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohd. Ali, mangsa cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal selepas nombor talian telefon tersebut dimatikan.
“Pemeriksaan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang melakukan perbuatan itu merupakan seorang lelaki.
“Bagaimanapun wajah suspek tidak kelihatan dengan jelas melalui rakaman itu,” jelasnya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











