NIBONG TEBAL 30 Julai – Seorang bayi lelaki berusia 17 bulan disahkan menjadi mangsa korban pertama wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, bayi terbabit yang dirawat di sebuah hospital swasta sejak 3 Jun lalu meninggal dunia tiga hari kemudian selepas keadaannya semakin teruk.
Menurutnya, hasil kajian yang dibuat kemudiannya mengesahkan kematiannya adalah disebabkan jangkitan paru-paru akibat komplikasi virus EV71 yang menyebabkan penyakit HFMD.
“Pada awalnya doktor tidak dapat sahkan punca kematian kerana gejala yang ditunjukkan adalah minima namun selepas ujian makmal disahkan akibat virus EV71 yang menyebabkan penyakit HFMD.
“Ini menjadikan Pulau Pinang merekodkan kes pertama kematian membabitkan penyakit HFMD di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika mengadakan lawatan ke Hospital Sungai Bakap. – UTUSAN ONLINE










