MUAR 24 Julai – Perkhidmatan Bas Harapan Johor yang disediakan secara percuma kepada rakyat negara ini kini diperluaskan dari Terminal Maharani Muar ke Pagoh.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, perkhidmatan tersebut telah bermula pada awal bulan ini melalui Bukit Pasir dan Bandar Universiti sebelum berakhir di pekan Pagoh.
“Dua buah bas yang menyediakan lapan trip sehari itu akan melalui tempat-tempat tumpuan utama seperti Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan Majlis Perbandaran Muar (MPM) bagi memudahkan orang ramai.
“Pelajar-pelajar di Bandar Universiti juga berpeluang menggunakan perkhidmatan itu secara percuma untuk mereka ke Bandar Muar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penjenamaan Bas Harapan Johor dan Perluasan Laluan di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.
Mengulas lanjut, Osman berkata, Bas Harapan Johor dari Terminal Maharani juga akan diperluas ke laluan Sungai Mati, Bukit Gambir, Panchor, Bandar Universiti dan Pekan Pagoh tidak lama lagi.
Kata beliau, laluan itu pula akan membabitkan sebuah bas dengan tiga trip sehari.
“Kos bagi kedua-dua laluan ini membabitkan lebih RM1.2 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban hidup masyarakat terutamanya golongan B40 di kawasan terlibat.
“Di samping itu, satu perkhidmatan bas ekspres dari Bandar Universiti Pagoh terus ke Larkin Sentral akan diwujudkan bagi memudahkan mahasiswa ke selatan tanah air,” katanya.










