MIRI – Seorang bapa dan anak lelakinya maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang Jalan Bahagia-Kuala Baram Bypass di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, dua mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Thomas Balang Apoi, 45, dan Elfhy Leonald Panai Thomas, 8.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, dua beranak tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Pujut ke Permyjaya di sini.
Bagaimanapun, katanya, apabila tiba di tempat kejadian, Thomas yang memandu kereta jenis Proton Persona dikatakan secara tiba-tiba masuk ke simpang jalan tanpa memberikan isyarat.
“Tindakan itu telah mengakibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 25 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta dinaiki dua beranak tersebut.
“Kesan perlanggaran tersebut telah mengakibatkan kanak-kanak lelaki itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala bapanya meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Miri,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, pemandu Toyota Hilux itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. – K! ONLINE











