Insiden menghina agama satu-satu kaum di negara ini sangat jarang kedengaran 10 atau 20 tahun dahulu. Kalaupun ada, isu ini akan diselesaikan dengan pantas menerusi tindakan undang-undang yang diperuntukkan dalam akta-akta tertentu.
Bagaimanapun sejak ledakan teknologi maklumat melanda dunia, keadaan berubah sekelip mata. Pengenalan internet dan pelbagai aplikasi media sosial seolah-olah memberi satu lesen besar kepada sesiapa sahaja untuk meluahkan pandangan dan buah fikiran sehingga sampai ke tahap keterlaluan.
Antaranya, posting berbaur kebencian dan kecaman ke atas agama Islam dan agama-agama lain.
Kejadian mencerca dan memperlekehkan agama sejak dari itu semakin menjadi-jadi dan sudah menjadi perkara biasa.
Keadaan menjadi semakin buruk apabila beberapa akta yang kelihatan tegas dan keras sudah dimansuhkan. Pemansuhan itu dikatakan menjadi salah satu punca berleluasanya perbuatan sedemikian.Tulisan-tulisan yang mengandungi unsur-unsur kecaman, penghinaan dan kebencian kepada agama dan kaum dapat dilihat dalam laman Facebook, Twitter, YouTube atau Instagram, laman web atau blog.
Perkembangan ini begitu meresahkan masyarakat lebih-lebih lagi begitu cepat tersebar menerusi media sosial. Pencaci dan pencela tidak merasa takut kerana kebanyakan berselindung di sebalik akaun palsu.
Ada juga yang menghina secara terbuka atas alasan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Mereka ini bagaimanapun menjadi pengecut dan lari meninggalkan negara apabila diburu pihak berkuasa kerana takut didakwa.
Pujian harus diberikan kepada pihak berkuasa terutama polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana bertindak pantas mengekang insiden mencaci atau mencerca kaum dan agama sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini. Beberapa pelaku didakwa dan dikenakan tindakan termasuk dipenjara.
Menyedari kejadian seperti ini tidak akan berakhir dan berterusan, kerajaan baru-baru ini mencadangkan agar Akta Kebencian Agama dan Kaum diwujudkan bagi mengekang perbuatan menghina agama Islam dan agama-agama lain. Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof, setiap agama perlu diberi perlindungan dan tidak boleh dicaci atau dihina. Dalam sebuah negara majmuk ini, akta khusus seperti ini sudah tentu sangat diperlukan bagi menjaga keharmonian hidup pelbagai kaum. Peruntukan undang-undang dalam akta berkenaan dapat membendung insiden yang lebih ekstrem seperti pergaduhan, pertelingkahan dan keganasan sehingga boleh membawa pertumpahan darah.
Bagaimanapun timbul satu persoalan, perlukah lagi akta seumpama itu diperkenalkan dalam keadaan sudah ada beberapa akta dan peruntukan dalam Kanun Keseksaan sedia ada yang digunakan untuk menangani kes-kes seperti itu. Selama ini kes-kes sebegini akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Kanun Keseksaan. Setakat ini nampak keberkesanan akta ini apabila pihak berkuasa bertindak menangkap, mendakwa dan menghukum si pelaku. Tidak dapat dipastikan sama ada peruntukan yang terdapat di dalam kedua-dua akta dan kanun itu masih lemah sehingga perlu diwujudkan satu akta lain.
Penggubalan akta tersebut jika mahu diteruskan nanti mestilah tidak bertindih dengan beberapa akta yang telah ada sekarang. Malah akta itu nanti hendaklah lebih bagus dan lebih berkesan dalam mencegah dan membendung insiden-insiden penghinaan ke atas agama. Akta itu juga biarlah digeruni sehingga tidak ada lagi kes satu-satu agama dicerca dengan begitu teruk sekali.
Keberkesanan sesuatu akta itu dapat dilihat dan dirasai apabila berjaya dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin dan adil.
Mereka yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan tegas sekali gus menjadi teladan dan pengajaran kepada yang lain.
Tidak ada kompromi dalam soal-soal yang melibatkan keselamatan kaum dan agama.
Pada masa yang sama janganlah ada nanti pihak yang cuba membela atau mempertahankan individu atau kumpulan yang secara jelas melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.
Tindakan ini tidak akan membantu malah boleh memburukkan lagi keadaan.
Tidak ada gunanya jika banyak akta pencegahan jenayah digubal tetapi pelaksanaan dan penguatkuasaan lembab dan perlahan. Keadaan ini sudah pasti memberi ruang kepada lebih ramai lagi pencaci dan pencela mengambil bahagian dalam kerja-kerja mencaci dan mencerca kaum dan agama orang lain.
Seperkara lagi, janganlah memansuhkan akta sedia ada hanya kerana merasakan akta itu tidak memihak kepada satu-satu pihak atau parti politik suatu waktu dahulu atau hanya kerana digubal oleh kerajaan sebelum ini.
Pandanglah dari sudut yang lebih besar dan berlapang dada. Setiap akta yang digubal dan diluluskan sudah tentu ada kepentingan nasional. Melakukan pindaan ke atas peruntukan-peruntukan yang dirasakan perlu adalah lebih baik daripada memansuhkan secara tergesa-gesa.










