SAUDARA PENGARANG, BARU-BARU ini saya ada terbaca kisah Mohd. Shafuan Nor Azhar, 19 yang ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila hasrat untuk bekerja bagi membantu kedua-dua orang tuanya tidak kesampaian.
Niat murni pemuda ini yang melupakan pengajian tinggi untuk menyara keluarga di usia muda akhirnya diuji apabila beliau disahkan menghidap kanser tulang.
Mohd. Shafuan yang kini tinggal bersama orang tuanya di Rumah Rakyat Sungai Rotan di Titi, Jelebu, pada awalnya bekerja sebagai penyedia makanan di Sungai Buloh demi membantu keluarganya, tambahan ibunya lumpuh separuh badan akibat strok.
Selepas dua bulan bekerja dia mengalami sakit belakang diikuti bahu kiri membengkak dan akhirnya disahkan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Mei lalu menghidap kanser tulang.
Saya berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan serta Yayasan Kebajikan Negara mahupun Pejabat Wilayah Selatan di bawah Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga dapat mengambil inisiatif melawat dan membantu keluarga ini.
Orang ramai yang sudi dan prihatin bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Mohd. Shafuan Nor Azhar bernombor 7623226660. Semoga bantuan dan keprihatinan rakyat Malaysia memberi suntikan motivasi kepada pemuda ini untuk kembali sembuh seperti sediakala.
INSAN PRIHATIN










