Bantah pengiktirafan UEC - Utusan Malaysia

Bantah pengiktirafan UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 6 Julai – Kira-kira 200 umat Islam di negeri ini hari ini berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap langkah kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai salah satu syarat pengambilan kakitangan kerajaan di negeri itu.

Mereka terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pas Melaka dan UMNO negeri berhimpun selama kira-kira 30 minit menyatakan bantahan terhadap kenyataan Ketua Menteri, Adly Zahari baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sedik memberitahu, bantahan dibuat hari ini bukan bersifat rasis sebaliknya bertujuan melindung hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bukan Melayu sekiranya sijil itu diiktiraf.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai kaum majoriti di Melaka iaitu 65 peratus, amat wajar orang Melayu membantah dasar diputuskan kerajaan negeri ini kerana ia akan mewujudkan jurang antara pelbagai kaum apabila UEC diterima pakai.

“Bagi kaum Cina pula, UEC turut menindas mereka yang belajar di sekolah-sekolah aliran perdana kerana sukatan UEC diadaptasi dari Taiwan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan itu di pekarangan Masjid Al-Azim di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, timbalannnya, Abdul Halim Maidin dan Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka, Ir. Mohd. Khoushaini Mohd. Naim.

Menurut Kamaruddin, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan pengiktirafan sijil tersebut di Pejabat Ketua Menteri petang ini.

Isnin lalu, Adly mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN