KOTA KINABALU 15 Julai – Kira-kira 200 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sorak Sabah mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa akan meluluskan dokumen pekerjaan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Sorak Sabah, Jamain Sarudin, 47, berkata, tindakan itu secara tidak langsung akan mengancam keselamatan negara dan hak kewargenegaraan selain menyalahi undang-undang.
Katanya, perkara itu juga akan memberi kesan kepada lambakan PATI di negeri ini dan menimbulkan masalah kelak.
“Tindakan kerajaan negeri baharu yang berhasrat untuk memberi dokumen pekerjaan kepada rakyat asing amat tidak wajar kerana ia akan menimbulkan lebih banyak masalah pada masa akan datang.
“Selain itu, tindakan tersebut juga salah kalau mengikut perundangan dan tidak patut dilaksanakan demi kepentingan bersama,” katanya ketika ditemui semasa perhimpunan itu di Gaya Street hari ini. – UTUSAN ONLINE










