PUTRAJAYA 15 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini sedang mendapatkan maklumat serta pandangan dalam usaha membangunkan satu model baharu industri padi dan beras yang lebih komprehensif.
Kementerian dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu dilaksanakan melalui beberapa sesi konsultasi bersama pemain industri termasuk golongan pesawah, pengilang, pemborong.
“Langkah itu termasuk mengkaji semula peraturan-peraturan sedia ada dan mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi memastikan peraturan tersebut sentiasa relevan dengan perkembangan semasa,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Syarikat Faiza Sdn Bhd (SFSB) sebelum ini meminta kerajaan memansuhkan permit pemindahan beras kerana ia melambatkan proses pengagihan, sekali gus memungkinkan pengeluar berdepan penalti lebih tinggi.
Pada masa sama, pengeluar beras terkemuka negara jenama Faiza itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula kesesuaian kadar rebat jualan di pasar raya yang dianggap terlalu tinggi sehingga membebankan syarikat Bumiputera.
Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Faiza Bawumi Sayed Ahmad berkata, pada masa ini, pemindahan keluar beras dari setiap daerah dikenakan permit yang memerlukan kelulusan kira-kira tiga hari bekerja.
Sementara itu berkaitan dengan permit pemindahan beras, kenyataan itu menjelaskan, kementerian sedang dalam proses membangunkan sistem permohonan secara atas talian sepertimana permohonan lesen-lesen lain yang berkait dengan pengedaran padi dan beras seperti lesen borong beras dan lesen runcit beras.
“Pada masa ini kelulusan segera boleh diperolehi serta merta dari pejabat kawalselia padi dan beras di setiap negeri dan tempoh sah permit adalah selama tiga hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE










