KUALA LUMPUR 24 Julai – Seorang banduan wanita yang sedang menjalani hukuman penjara 28 tahun enam bulan atas pelbagai kesalahan, sepatutnya menggunakan wang berjumlah RM6,686 milik seorang suri rumah untuk membeli tiket penerbangan mangsa ke Dubai, sebaliknya wang itu digunakan untuk dirinya sendiri, dua tahun lalu.
Ekoran perbuatannya itu, Nurshiella Prescilla Abdullah, 30, dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa dilakukan di Jalan Kiara 3, Mont Kiara di sini pada 15 November 2016.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Mahyudin Mohamad Som, wanita itu didakwa tidak jujur menggunakan wang milik Nawaranisah Abdul Salam, 37, untuk kegunaan sendiri iaitu kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.
Fakta kes menyebut bahawa wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun tertuduh oleh Nawaranisah untuk pembayaran tiket penerbangan ke Dubai sedangkan Nurshiella Prescilla tahu tiket tersebut tidak wujud.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara berjalan serentak.
“Saya merayu hukuman ringan kerana tempoh hukuman penjara sedia ada telah mengambil masa yang lama,” katanya yang telah berkahwin.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon hukuman sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.










