KUALA TERENGGANU – Bakal Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baharu hanya akan diputuskan selepas selesai mesyuarat agung tahun (AGM) pada Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, proses penyerahan jawatan yang disandang oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman kepada bakal presiden baharu akan berlangsung sebaik sahaja beberapa perkara teknikal berkaitan AGM diselesaikan.
Menurut beliau, kerajaan Pas Terengganu akan mula melakukan perubahan ke atas sukan bola sepak negeri ini sebaik sahaja pengisian jawatan Presiden dan Timbalan Presiden 1 PBSNT yang dilepaskan oleh Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dijalankan.
“Kita banyak menerima cadangan daripada pelbagai pihak antaranya bekas jurulatih dan pemain-pemain selain mereka yang masih berada dalam industri.
“Ada pelbagai pendapat yang diutarakan seperti meminta pasukan Terengganu Football Club 1 (TFC 1) dan TFC II terus kekal dan ada juga yang mencadangkan hanya cukup satu pasukan sahaja dan TFC II dibubarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di sini Wisma Darul Iman hari ini.
Pada Disember 2016, Ahmad Razif menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam kongres luar biasa PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020 menggantikan bekas presiden terdahulu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang melepaskan jawatan. – K! ONLINE









