Baitulmuqaddis bukan sekadar ziarah - Utusan Malaysia

Baitulmuqaddis bukan sekadar ziarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASULULLAH SAW bersabda: “Janganlah kamu bersusah payah bermusafir (dengan tujuan beribadat) melainkan ke tiga masjid, Masjidilharam di Mekah, masjidku di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.’’

Sememangnya berpeluang mengikuti rombongan Yayasan MyAqsa baru-baru ini ke tempat yang dianggap antara satu daripada tiga tempat paling suci dalam Islam adalah satu kenangan indah bagi penulis dan sesiapa juga yang pernah melawatinya.

Namun rakyat Palestin tidak mengharapkan kita sekadar datang dan menziarahi sebaliknya perlu bersama-sama mempertahan bandar tersebut yang kini cukup dikenali dengan nama Jerusalem.

Namun sedarkah kita, di sebalik pelbagai usaha dilakukan bagi mempertahan Baitulmuqaddis daripada terus dikuasai rejim aparteid Zionis, hakikatnya, bandar suci itu sudah pun ‘ditawan’ dan dijajah tanpa disedari?

Bayangkanlah Jerusalem diiktiraf secara haram sebagai ibu negara Israel, lanjutan itu, kalau kita mahu melawat Baitulmuqaddis kita perlu melepasi dahulu pemeriksaan imigresen yang dikendalikan oleh Israel.

Pada tangan mereka, ada kuasa sama ada membenarkan kita memasukinya atau tidak. Malah ada umat Islam dihalang memasuki bandar itu dengan alasan keselamatan.

Bagaimanapun semangat rakyat Palestin dan seluruh umat Islam di dunia dalam mempertahan Baitulmuqaddis yang menempatkan Masjid Al-Aqsa tidak pernah luntur. Kebiadaban rejim zionis akan ditentang habis-habisan apabila mereka dilihat cuba mengganggu gugat kota suci tersebut.

Tetapi sekali lagi sedarkah kita, untuk memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa itu, pintu-pintu masuknya dikawal oleh tentera Israel dan khabarnya, setiap pukul 12 tengah malam hingga pukul 3 pagi setiap hari, pintu-pintu besi di sekitar masjid tersebut akan ditutup.

TERLALU JAHAT

Sepanjang hampir seminggu berada di Baitulmuqaddis, penulis dapat merasai bagaimana hebatnya tekanan demi tekanan dilakukan oleh rejim aparteid Zionis ke atas rakyat Palestin.

Kalau daripada mata kasar kita dapat melihat bagaimana rumah-rumah besar tersergam indah milik penduduk Yahudi, tetapi itu bukan tanah milik mereka tetapi ia adalah hasil tindakan merampas tanah-tanah milik rakyat Palestin. Di Hebron pula, rakyat Palestin bagaikan berada dalam penjara, pergerakan mereka diawasi tentera-tentera rejim Zionis.

Dari semasa ke semasa, pemerintah Israel terus memberi tekanan untuk mendesak rakyat Palestin menjual atau meninggalkan tanah mereka yang sudah difatwakan sebagai tanah wakaf.

Dan pada 7 Julai lalu, Mufti Palestin Muhammad Hussein mengeluarkan fatwa mengharamkan umat Islam memindahkan hak milik tanah mana-mana juga kawasan di Jerusalem (Baitulmuqaddis) atau tanah milik Palestin kepada musuh.

Ia memandangkan semua tanah di kawasan berkenaan adalah tanah wakaf yang tidak boleh dijual beli.

Atas sebab itulah seperti mana diceritakan oleh pemandu pelancong kami sepanjang lawatan tersebut, Hisyam, ada rakyat Palestin memberikan syarat yang tidak masuk akal kepada pihak berkuasa Israel apabila dia didesak menjual tanahnya.

“Syarat itu ialah mereka perlu mendapat tandatangan daripada seluruh umat Islam di dunia yang membenarkan rakyat Palestin tersebut menjual tanah berkenaan,’’ kata Hisyam.

PERTARUH NYAWA

Syarat itu sekali gus memberi isyarat bahawa biarpun apa terjadi, rakyat Palestin sama sekali tidak akan menjual tanah wakaf tersebut biarpun saban hari pelbagai tekanan diberikan.

Namun di Palestin secara keseluruhan, umat Islam terus ditindas. Rumah-rumah mereka dirobohkan untuk dibina penempatan haram Yahudi seperti mana berlaku di Hebron, Tebing Barat dan beberapa kawasan lain.

Kini sasaran mereka ialah menguasai sepenuhnya Baitulmuqaddis terutama persekitaran Masjid Al-Aqsa yang di dalamnya terdapat kawasan menempatkan ribuan umat Islam Palestin.

Setakat ini, usaha mereka gagal kerana umat Islam Palestin dengan sokongan masyarakat Islam terus teguh mempertahan kota suci itu.

Ia ditegaskan oleh Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Saed Sabri yang menyatakan: “Kami sama sekali tidak akan lemah semangat apatah lagi tunduk kepada tekanan rejim zionis, kami yakin kepada diri sendiri dan memohon pertolongan Allah.’’

Oleh itu, isu Palestin, Baitulmuqaddis dan mempertahan kesucian Masjid Al-Aqsa tidak harus dilupakan oleh kita, biarpun seperti mana kata oleh Dr. Ekrima, kuasa-kuasa besar berjaya membuatkan negara Islam dan dunia Arab sibuk dengan masalah dalaman bagi mengalih pandangan terhadap penjajahan dan kekejaman rejim Zionis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN