SAUDARA PENGARANG, SAYA berpeluang meninjau keadaan Asrama Putra Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di Kuala Pilah pada bulan Ramadan lalu ekoran anak saya menjadi warga asrama apabila diterima menyambung pelajarannnya di kolej tersebut.
Kolej ini memulakan operasinya sekitar tahun 2000. Ini bermkana, umurnya telah pun menjangkau 18 tahun, setahun lebih muda daripada Kolej Matrikulasi Melaka.
Saya lihat keadaan bilik mandi dan tandasnya memerlukan pembelaan segera.
Kualiti bahan binaan menjadi punca utama. Diharapkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dapat turun padang meninjau sendiri keadaannya dan mengambil langkah-langkah segera membaikpulih bangunan.
Saya sebagai seorang bapa berasa sangat sayu sekali melihat anak-anak kita ditempatkan di asrama berkenaan.
Anak-anak ini bakal melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjadi pemimpin masa depan.
MOHD. RASHID TARIHEP
Taman Amaniah, Batu Caves










