SAYA kesal seorang Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid tidak memahami atau sengaja mahu mengelirukan pandangan saya kepada umum mengenai penilaian terhadap bahasa Arab sebagai bahasa ilmu.
Dalam tulisannya kepada Forum Utusan Malaysia pada 13 Julai lalu, Mohd. Azmi mendakwa saya dangkal kerana mengatakan tidak ada pakar Islam dalam bahasa Arab.
Saya akui memang ramai pakar Islam atau ulama menerusi jurusan Arab tetapi tidak ada kalangan profesional yang terkemuka di dunia menerusi pendidikan bahasa Arab kerana bahasa Arab bukan lagi bahasa sains, teknologi, ekonomi dan lain-lain disiplin ilmu dengan nilai profesional diperlukan untuk sumbangan ke arah membawa kemajuan dan pemodenan lebih besar kepada umat manusia.
Walaupun pun al-Quran dianggap sumber segala bidang ilmu yang ada sekarang tetapi itu adalah cerita beratus tahun dahulu ibarat cerita kegemilangan dan kegagahan Melayu di zaman Hang Tuah membawa kepada keyakinan Melayu tak akan hilang di dunia.
Tetapi dalam realiti dunia hari ini, bahasa Arab bukan lagi bahasa yang ada pasaran dan kekuatan nilai antarabangsa kerana daya kemajuan berfikir dan intelektualiti orang Arab disekat oleh ulama-ulama Arab yang taksub dan jumud.
Mereka terpaksa melarikan diri untuk mencari kebebasan membaca, berfikir dan bersuara di negara-negara Barat kerana tertekan dalam negara sendiri oleh hukuman, cacian dan ancaman ulama-ulama feudal yang bersifat seperti raja walaupun mereka bukan raja.
Oleh kerana tekanan ini, maka perkembangan ilmu di negara-negara Arab terbantut dan menuju kemunduran termasuk dalam kalangan pembuat permaidani.
Sebaliknya, pusat-pusat ilmu yang turut menjadi kebanggaan orang Islam sendiri terletak di Barat seperti di Universiti Oxford di Britain; Harvard di Amerika Syarikat atau Free Universiti di Jerman yang meluaskan daya peningkatan ilmu dan memberikan nilai tinggi kepada keluarannya.
Negara-negara Arab tidak menjadi tumpuan pelajar-pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang profesional sebaliknya ramai pelajar-pelajar Arab yang berada di universiti-universiti Malaysia sekarang.
Yang terkenal di negara Arab hanyalah Universiti Azhar yang keadaannya dan juga cara pembelajarannya adalah masih kuno hingga sekarang dalam serba kekurangan.
Anak-anak kita yang pulang dari negara-negara Arab terbatas pasaran mereka dalam bidang agama sahaja. Bidang kedoktoran di Mesir juga memerlukan Bahasa Inggeris.
Sebaliknya Malaysia yang terdedah kepada pendidikan sekular di samping agama sejak zaman penjajahan Inggeris, ulama-ulama kita berfikiran sederhana dan terbuka dan memberikan pendidikan Islam secara formal dan sukarela tanpa paksaan dan kekerasan.
Kemajuan pendidikan Islam dari sekolah-sekolah pondok kepada pemodenan sekolah Arab seperti Maahad Mahmud di Kedah melahirkan pimpinan Islam yang berkualiti dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan bidang-bidang pekerjaan lainnya.
Dr. Abdul Halim Ismail, rakan saya di Maahad Mahmud tidak mungkin menjadi Pengarah Urusan Bank Islam pertama malah membantu penubuhannya tanpa mendedahkan dirinya kepada pendidikan Inggeris sehingga ke peringkat Universiti Oxford.
Pada keseluruhannya, sistem pendidikan negara telah melahirkan profesional Islam, tidak sahaja lelaki tetapi juga wanita-wanita Islam yang dihormati dunia seperti Gabenor Bank Negara terbaik di dunia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Gabenor wanita kedua Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Samsiah dan wanita Asia pertama dari Malaysia mengetuai sebuah agensi Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu, Maimunah Mohd. Shariff.
Kemajuan wanita Islam Arab terutama dari Arab Saudi hanya baru sekadar boleh memandu kereta oleh kerana tafsiran al-Quran sebelum itu mengharamkan wanita memandu kereta. Bukti kemajuan ilmu dalam bahasa Arab terbantut kerana kejumudan berfikir.
Apabila saya membaca tulisan Pengarah Kanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Mohd. Sauki Abdul Majid (Mingguan Malaysia, 15 Julai 2018) yang juga menyentuh saya mengenai sekolah tahfiz maka jelas kepada saya pentafsiran Islam dan al-Quran yang sempit juga membelenggu pemikiran pendakwah-pendakwah kita.
Dalam tulisannya itu, beliau menekankan kepercayaan bahawa sekolah tahfiz akan melahirkan generasi ulul albab.
Apakah pembangunan universiti-universiti dengan tenaga-tenaga pengajar Islam yang profesional di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya bukan kerana sistem pelajaran negara yang Islamik tanpa menekankan ulul albab?
Mohd. Sauki disempitkan fikirannya oleh kepercayaan yang tidak disedarinya bahawa orang Islam harus mencari kekuatan menerusi pengasingan dari aliran perdana sejak zaman persekolahan rendah lagi.
Dengan pengasingan menerusi sekolah-sekolah tahfiz, maka akan melahirkan orang Islam yang ulul albab, generasi Islam yang lebih beriman dan lebih teguh ke-Islamannya tetapi sebenarnya anak-anak kita yang tidak terdedah kepada dunia luar dan pergaulan bebas akan menjadi orang-orang Islam lemah dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat bukan Islam.
Tetapi anak-anak kita yang terdedah kepada dunia luar dan memaksa diri bergaul dengan bukan Islam, tetapi tetap dengan ke-Islamannya, adalah lebih kuat daripada ulul albab dari sekolah-sekolah tahfiz yang hanya terbatas pergaulan dengan sesama Islam sahaja.
Sebenarnya, kita mempunyai badan-badan dakwah yang menjadi penghalang kepada kemajuan umat Islam di dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang memerlukan orang-orang Islam dengan keterbukaan minda dan kemampuan sosial tinggi serta tidak terbatas.
Golongan pendakwah yang sempit fikirannya seperti yang ada di dalam Mapim dan Yadim, apabila tidak dapat memberikan jawapan kepada perbincangan secara terbuka akan membuat ugutan dan hukuman atau melaporkan kepada polis atas apa yang sensitif kepada fikiran mereka.
Mereka ini sama seperti ulama-ulama feudal di negara-negara Arab yang membawa keterbatasan kepada pendidikan dan pengajaran al-Quran.
TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN
zamkata.blogspot.com










