MEKAH 21 Julai – Tabung Haji akan melaksanakan badal haji untuk 4,927 orang pada tahun ini iaitu jumlah paling tinggi berbanding musim-musim haji lepas.
Menurut Pengurus Besar Bimbingan, Tengku Aziz Raja Abdullah, pelaksanaan tersebut berdasarkan permohonan daripada rakyat Malaysia sejak Mei lepas yang mewakilkan kepada Tabung Haji untuk menyempurnakan ibadah itu bagi waris mereka.
Menurut beliau, pada tahun ini Tabung Haji meningkatkan had permohonan bagi badal haji sehingga 5,000 orang berbanding 3,900 orang tahun lepas.
“Kita terima rungutan daripada umat Islam di Malaysia bahawa Tabung Haji buka permohonan sekejap sahaja, maka permohonan sudah penuh. Jadi, tahun ini kita buat kelainan buka permohonan dan hadkan untuk 5,000 orang. Jika lebih kita akan bawa ke tahun hadapan.
“Tahun ini bayaran bagi badal haji adalah RM3,000 atau 2,400 riyal,” katanya di sini.
Menurut Tengku Aziz, badal haji akan dilaksanakan oleh pembadal-pembadal haji dalam kalangan penduduk Mekah dengan proses penyerahan nama sudah siap dilakukan semalam.
Beliau memberitahu, pembadal akan melalui proses temuduga untuk memastikan pengetahuan mereka tentang rukun-rukun haji dan apabila lulus nama mereka akan disenaraikan dalam pangkalan data sebagai wakil untuk melaksanakan badal haji kepada Tabung Haji.
“Setelah melalui saringan sistem biometrik, calon yang berjaya akan melalui akad di antara pihak Tabung Haji dan pembadal untuk melaksanakan badal haji,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan ibadah itu dilakukan dengan sempurna, bayaran kepada pembadal akan dilakukan dua peringkat iaitu 1,000 riyal sebelum wukuf dan selepas itu 1,400 riyal.
“Bila bayaran kedua dibuat selepas wukuf kita akan tanya mereka untuk pastikan mereka telah laksanakan badal haji,” katanya.
Beliau memberitahu, badal haji adalah khidmat sokongan yang disediakan Tabung Haji kepada umat Islam di Malaysia yang ingin melaksanakannya untuk waris mereka.
Sementara itu, Yaakob Ramli, 40, berketurunan Pattani, Thailand sudah lapan kali menjadi pembadal haji untuk Tabung Haji.
Katanya, setiap tahun dia tidak melepaskan peluang berkhidmat dengan Tabung Haji kerana bayaran yang bagus.










