Azmin umum cabar Anwar atau tidak selepas PRK Sg. Kandis - Utusan Malaysia

Azmin umum cabar Anwar atau tidak selepas PRK Sg. Kandis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 31 Julai – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memuktamadkan keputusannya mengenai jawatan mana yang bakal ditandingi dalam pemilihan parti pada bulan depan selepas selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau yang baharu dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) juga kekal berteka-teki sama ada bakal mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden atau kekal mempertahan kedudukannya selaku Timbalan Presiden.

Ketika diajukan soalan mengenai kedudukan Presiden, Mohamed Azmin sekadar memberitahu yang beliau harus memberikan tumpuan pada PRK Sungai Kandis terlebih dahulu manakala soal Rafizi Ramli pula beliau berkata, setiap ahli parti berhak menawarkan khidmat dalam perjuangan.

“Saya hormati keputusannya (Rafizi) untuk bertanding namun ini adalah proses demokrasi yang tidak perlu dipandang pelik kerana ini adalah kekuatan PKR.

“Malah, saya berada di jawatan ini selama 20 tahun kerana pertandingan dan tidak pernah mendapatnya secara percuma tetapi sebenarnya memperkukuhkan lagi peranan dalam parti,” katanya ketika ditemui pada program Santai BBQ, di sini malam tadi.

Terdahulu, Rafizi yang juga Naib Presiden mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti.

Menyentuh mengenai pelantikannya dalam Khazanah pula, Mohamed Azmin menyatakan penghargaan atas kepercayaan Perdana Menteri dan pelantikan tersebut hanya dimaklumkan kepadanya petang tadi.

“Dengan pelantikan ini, saya akan mengembalikan syarikat kepada peranan asalnya dan akan membincangkan secara terperinci dalam mesyuarat akan datang pada masa terdekat.

“Namun, sebelum itu, kita akan memanggil semua Ahli Lembaga Pengarah bagi meneliti keutamaan yang perlu dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN