IPOH 26 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri, Dr. Abdul Aziz Bari menyangkal dakwaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) merosakkan perpaduan kaum.
Menurutnya, dakwaan tersebut adalah retorik kerana hakikatnya apa yang berlaku di peringkat akar umbi, UEC tidak menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.
Beliau berkata, pengiktirafan UEC adalah berdasarkan kepada keperluan semasa iaitu sebagai alat komunikasi atau tujuan komersial dalam dunia tanpa sempadan hari ini.
“Soal perpaduan yang disebut oleh Tan Sri Harussani semalam saya kurang setuju, Pejabat Mufti seharusnya tidak terlalu cepat untuk ‘jump on the bandwagon’
“Apakah bermakna apabila kita mengiktiraf UEC, esok orang akan bergaduh? Siapa yang nak bergaduh? Kecualilah ada yang membuat isu, jadi saya tak nampak UEC boleh merosakkan perpaduan,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengenai dakwaan pengiktirafan UEC meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Abdul Aziz berkata, kedudukan bahasa Melayu terus kekal sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, urusan rasmi kerajaan, perdebatan dalam Parlimen serta urusan rasmi kerajaan masih menggunakan bahasa Melayu.
Katanya, UEC adalah berdasarkan kepada keperluan dan perkara itu harus melihat kepada realiti sebenar peringkat akar umbi, bukannya soal anti bahasa Melayu.
“Seperti di Perak, ada sekolah jenis kebangsaan Cina yang majoritinya pelajar Melayu.
“Lagipun saya fikir kalau bahasa rasmi negara itu sudah kukuh selama 60 tahun, isu ini tak timbul. Sudah terlambat jika kita mahu menjadikan bahasa sebagai isu, bermakna kita masih melihat isu bahasa dalam perspektif yang lama,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, pengiktirafan UEC yang menetapkan syarat mereka yang mendudukinya mempunyai sekurang-kurangnya kredit dalam bahasa Melayu membuktikan bahasa Melayu tidak dipinggirkan.
“Ini merupakan pengiktirafan bersyarat, jadi mengapa harus dipolitikan kononnya mencabar kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan. Ini satu perkara yang harus diperhatikan dan harus hati-hati agar tidak mengaitkan isu bahasa dengan isu kaum,” katanya. – UTUSAN ONLINE










