Ayu tetap setia menanti - Utusan Malaysia

Ayu tetap setia menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 3 Julai – Peraih getah, Che Abdul Karim Che Hamid yang bernikah dengan kanak-kanak berusia 11 tahun belum menerima tuntutan cerai daripada isteri pertama dan kedua walaupun mereka berdua mendakwa mahu berbuat demikian dalam masa terdekat.

Che Abdul Karim, 41, berkata, beliau mengambil serius kenyataan isteri keduanya Siti Noor Azila Zulkifle, 34, yang mengugut kononnya dia serta madunya mahu menuntut cerai menerusi status Facebook dan segera menghubungi mereka bertanyakan perkara itu.

“Keputusan semuanya bergantung di tangan saya. Rasanya isteri saya tertekan dan mereka hanya cakap belakang. Setakat ini mereka belum memberitahu saya sendiri (ingin bercerai).

“Saya juga pesan supaya tak usahlah tulis status di Facebook secara keterlaluan nanti jadi kes lain pula. Saya banyak menasihatkan dia (isteri kedua) dan bagi teguran positif sebab dia sudah banyak mengaibkan suami. 

“Saya juga mengambil pendirian tidak akan meninggalkan ketiga-tiga isteri saya dan tetap akan pikul tanggungjawab walau apa jadi sekalipun,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Terdahulu, mereka dikunjungi rombongan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi

Sementara itu, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Ayu pula berkata, dia memahami dan menghormati undang-undang negara ini dan keluarganya sedia disiasat walaupun mereka adalah warganegara Thailand.

Dia juga menegaskan akan tetap setia menunggu suami walaupun lelaki itu boleh didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 yang membawa hukuman denda RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mumtaz meminta semua pihak tidak mensensasikan kisah perkahwinan kontroversi di antara kanak-kanak berumur 11 tahun bersama pasangannya yang berumur 41 tahun tanpa mengetahui cerita sebenar.

Katanya, dalam kes tersebut biarlah hanya pihak berkuasa menjalankan kerjanya. 

“Kita akan minta pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) datang memantau kanak-kanak itu supaya dia boleh mengadu sekiranya ada unsur-unsur lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN