Atlet positif doping akan digugur serta-merta - Utusan Malaysia

Atlet positif doping akan digugur serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Julai – Mana-mana atlet yang didapati positif menggunakan bahan terlarang, akan digugurkan serta-merta daripada kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan.

Amaran itu diberikan oleh Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, yang berkata, ia antara langkah memastikan kontinjen negara mencapai sasaran sifar kes doping pada temasya itu.

Beliau berkata, semua atlet wajib menjalani ujian doping yang akan dikendalikan oleh Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) sebelum bertolak ke Jakarta atau Palembang, yang atlet yang mengelak daripada ujian itu selepas diberikan masa yang secukupnya, juga akan digugurkan daripada kontinjen negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil sukan papan selaju, tinju dan triathlon di Wisma OCM, di sini hari ini.

Abdul Azim, yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, pihaknya tidak mahu kesalahan doping melibatkan atlet negara pada beberapa temasya sebelum ini berulang.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA 2017, penerjun Wendy Ng didapati positif sibutramine, manakala atlet wusyu, Tai Cheau Xuen pula gagal ujian doping ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dengan pingat emas kedua-dua atlet ini ditarik balik.

Malaysia juga berisiko kehilangan pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia yang berlangsung April lalu, apabila atlet angkat berat, Mohd. Fazrul Azrie Mohdad (kategori bawah 85kg) berada dalam siasatan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) berikutan penemuan unsur bahan terlarang.

Beliau terdahulu disahkan positif Stanozolol pada ujian yang dilakukan oleh ADAMAS sebelum bertolak ke temasya itu, tetapi keputusan hanya diketahui selepas beliau sampai ke Gold Coast. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN