Atasi masalah ponteng dewan - Utusan Malaysia

Atasi masalah ponteng dewan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA tempatan ming­gu lalu mela­porkan disebabkan tidak cu­kup korum pada hari kedua Dewan Rakyat bersidang (24 Julai), persidangannya terpaksa ditangguh. Walaupun penangguhan itu tidak lama, namun berita kekoso­ngan dewan itu menjadi tular dan menimbulkan reaksi yang pelbagai. Di bawah peraturan sedia ada (Standing Orders 13), perlu ada korum paling minimum 26 ahli Parlimen hadir.

Ramai dalam kalangan rakyat yang merasakan ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mewakili mereka sepatutnya hadir apabila dewan itu bersidang. Kegagalan hadir ketika Parlimen bersidang dilihat sebagai satu pengkhianatan atau mungkir janji untuk berkhidmat secara tekun.

Melihat gelagat ahli Parlimen yang ponteng ini, bekas menteri Kabinet Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata bahawa cara terbaik mengatasinya adalah dengan memotong elaun bulanan mereka. Selain itu, beliau mencadangkan nama-nama ahli Parlimen yang ponteng ini didedahkan di akhbar dan media sosial untuk pengetahuan umum.

Ditanya pendapatnya mengenai cadangan Rais itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau setuju dengan cadangan itu sekiranya ketidakhadiran ahli Parlimen itu mengganggu atau menjejaskan perjalanan mesyuarat. Tindakan itu wajar diambil sekiranya tiada alasan yang munasabah ahli Parlimen itu tidak hadir.

Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) memberitahu wartawan bahawa sebahagian besar wakil rakyat Pakatan Harapan tidak ada dalam dewan ketika sidang Parlimen disambung selepas waktu rehat pukul 2.30 petang kerana mereka menghadiri sesi taklimat untuk ahli Parlimen baharu. Ketidakhadiran mereka (yang menyebabkan dewan tidak cukup korum) itu kemudian ditegur oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Masalah ponteng dewan bukan satu perkara baru di negara ini. Pada satu masa dulu (mengikut maklumat yang saya temui dalam satu portal berita) antara individu yang kerap ponteng dewan adalah Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Walaupun ada masa ketidakhadiran beliau ada alasannya (untuk menjalani rawatan perubatan dan dinasihatkan untuk berehat), ada masa yang mana ketidakhadirannya tidak diberi alasan.

Menjawab tohmah bahawa Abdul Hadi tidak hadir dalam dewan tanpa sebab, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Azman Ibrahim mengakui seorang ahli Parlimen itu mesti hadir apabila Parlimen bersidang. Namun begitu, kehadiran di dewan itu bukan satu-satunya tugas seorang ahli Parlimen. Apabila tidak hadir di dewan, ini bukan bermakna ‘terima gaji buta’ kerana banyak tugasan lain yang perlu di­lakukan. Sebab itu peraturan Parlimen tidak me­netapkan semua ahli Parlimen mesti hadir setiap hari, jelasnya lagi.

Bagi ahli akademik, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, perbuatan ponteng dewan me­nunjukkan ahli Parlimen ber­kenaan tidak melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya oleh rakyat melalui pro­ses pilihan raya. “Jika mereka ponteng, ini bermakna mereka tidak berdisiplin dan gagal menjalankan tugas yang diamanahkan,” tegas­nya. Untuk mengelakkan masalah ini berterusan, satu mekanisme ka­walan perlu diadakan.

Selain masalah disiplin diri, Zaharuddin menyatakan antara faktor yang menyebabkan ponteng dewan ini adalah mungkin cetek ilmu atau kurang kefahaman individu tersebut mengenai tugas dan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen. Pada masa ini, terdapat 40 peratus muka baharu dalam dewan.

Di luar negara masalah ponteng dewan ini dipanggil Parliamentary absenteeism. Di India, ponteng dewan telah lama wujud, yang mana tahap kehadiran ahli Parlimen di Lok Sabha dan Rajya Sabha biasanya tidak melebihi 70 peratus – yang bererti 30% ahli dewan di negara itu kerap ponteng. Mengikut penganalisis undang-undang di negara itu, antara punca ponteng dewan ini adalah ketiadaan insentif bagi ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan atau debat dalam dewan.

Masalah ponteng dewan juga berlaku di Afghanistan. Mengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara itu The Free and Fair Election Foundation of Afghanistan, ketidakhadiran ahli Parlimen mereka dalam dewan adalah satu masalah besar. NGO itu mencadangkan nama ahli Parlimen yang ponteng didedahkan kepada rakyat sebagai usaha awalan mengatasi masalah ini.

Di Somalia, masalah ponteng dewan juga telah lama berlaku, menyebabkan beberapa Rang Undang-Undang yang hendak diluluskan tidak dapat dibentang dan dibahaskan. Di bawah perlembagaan negara itu, seorang ahli Parlimen akan hilang keahliannya jika dia tidak hadir dalam dua sesi Parlimen berturut-turut tanpa izin Speaker. Di Afrika Selatan (di mana masalah yang sama juga wujud) ada cadangan dua tahun dulu bahawa siapa sahaja ahli Parlimen yang ponteng dewan akan dikenakan denda. Bagaimana pun cadangan ini ditolak, dan akhirnya Parlimen menyerahkan setiap parti mendisiplinkan ahli mereka masing-masing.

Di Malta, ada cadangan meng­atasi masalah ponteng ini de­ngan mengenakan denda €50.00 ke atas setiap kali ahli Parlimen yang ponteng tanpa sebab yang munasabah. Bagaimanapun, cadangan ini tidak diluluskan oleh Parlimen negara itu, menyebabkan masalah ponteng dewan ini berterusan sehingga sekarang.

Seorang sahabat pernah berkata kepada saya beberapa tahun lalu bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga jenis ahli Parlimen di negara ini – pertama, yang menjadikan politik satu kerjaya sepenuh masa (professional politician); kedua, yang tidak merancang / terfikir akan menjadi ahli Parlimen (accidental politician); dan ketiga, yang punyai matlamat tertentu menjadi ahli Parlimen (opportunistic politician).

Jenis pertama berupaya men­disiplinkan diri menjadi ahli Parlimen yang penuh bertanggungjawab. Jenis kedua perlukan tunjuk ajar dan nasihat dari mula untuk menjadi ahli Parlimen yang baik. Jenis ketiga perlu sentiasa dipantau untuk memastikan segala tindak-tanduknya berada di landasan yang betul.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN