PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang pernah bertugas sebagai arkitek di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman hari bagi membantu siasatan berhubung pemberian beberapa tender projek pembinaan di Putrajaya membabitkan RM300 juta.
Perintah reman bermula 1 hingga 5 Julai itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md. Roslan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Berdasarkan laporan awal, lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi memanipulasi beberapa kos proses projek pembinaan.
Terdahulu suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren dan tangan bergari.
Menurut sumber, projek yang dianugerahkan kontraktor menerusi proses tender disabotaj menyebabkan ia gagal dilaksanakan sebelum diberikan kepada kontraktor pengganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan arkitek terbabit, dan dikatakan dirancang lebih awal.
Suspek sebelum itu ditahan pada pukul 1.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. – K! ONLINE











