Ariff sah Speaker Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Ariff sah Speaker Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Teka-teki mengenai siapakah bakal menjadi Speaker Dewan Rakyat kesembilan akhirnya terjawab apabila bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sah dilantik ke jawatan tersebut.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika majlis pertemuan bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

“Ya, beliau adalah seorang bekas hakim,” katanya ketika diminta mengulas mengenai siapa yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang akan bersidang hari ini.

Jawatan itu boleh dipegang seseorang yang dipilih daripada Ahli Dewan Rakyat ataupun bukan dalam Ahli Parlimen tetapi mempunyai kelayakan.

Mohamad Ariff, 69, yang merupakan ahli Parti Amanah Negara juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti itu.

Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-14 yang dijadual berlangsung selama 20 hari dengan urusan pertama mesyuarat adalah pelantikan Speaker Dewan Rakyat, diikuti majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan persidangan dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada Selasa nanti.

Terdahulu, Tun Mahathir menghadiri pertemuan selama hampir sejam bersama Ke­tua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kabinet Sarawak bagi mendengar taklimat berhubung pemba­ngunan negeri ini.

Pemilihan Mohamad Ariff sekali gus menamatkan teka-teki mengenai siapakah yang bakal menggantikan tempat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini antara nama yang dikhabarkan akan menduduki kerusi panas itu termasuklah bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Seri Johari Abdul.

Bagaimanapun, nama Johari mendapat bantahan beberapa pihak memandangkan beliau pernah menjadi Pengarah Biro Tatanegara.

Dua nama yang kemudian disebut-sebut paling layak ialah Mohamad Ariff dan seorang lagi bekas Hakim Mahkamah Ra­yuan, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunos.

Senarai bekas Yang 
Dipertua Dewan Rakyat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN