BUENOS AIRES 16 Julai – Argentina dan jurulatih, Jorge Sampaoli memilih haluan masing-masing selepas kempen mereka pada Piala Dunia menemui kegagalan, kata Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), hari ini.
“Hari ini AFA dan Jorge Sampaoli mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan tugasnya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan,” kata AFA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Perpisahan tersebut berlaku selepas setahun Sampaoli berkhidmat setelah dia menandatangani kontrak selama lima tahun.
Jurulatih berusia 58 tahun itu dilihat gagal memimpin pasukan yang diketuai Lionel Messi di Rusia, dan kempen mereka dicemari dengan pertelingkahan yang menyebabkan hubungan tegang di dalam kem Argentina.
Dilantik pada Jun 2017, perlawanan terakhirnya selaku pengendali skuad kebangsaan ialah ketika tewas di peringkat 16 akhir kepada Perancis, yang dinobatkan sebagai juara dunia, semalam.
Perpisahan antara Sampaoli dan AFA agat menyulitkan setelah jurulatih itu enggan meletakkan jawatan dan ia turut melibatkan klausa yang terdapat di dalam kontrak di mana AFA perlu membayar pampasan jika dia dipecat.
Difahamkan Sampaoli telah menerima $AS2 juta (RM8 juta) sebagai bayaran pampasan. – AFP










