Apa sudah jadi Pasar Seni? - Utusan Malaysia

Apa sudah jadi Pasar Seni?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA teruja apabila berpeluang mengunjungi Pasar Seni (Central Market) di ibu negara baru-baru ini. Apa tidaknya kerana sudah lebih 10 tahun saya tidak menjejakkan kaki di tempat tersebut.

Sebaik sahaja memasuki Pasar Seni, saya kagum apabila melihat ramai pelancong dan orang tempatan membeli-belah. Kios atau gerai juga sudah bertambah sama ada di dalam mahupun di luar Pasar Seni.

Pelbagai barangan dijual.

Namun, perasaan teruja tadi tiba-tiba bertukar menjadi malu apabila mendengarkan perbualan seorang pelancong asing dengan seorang pekedai di situ. Perbualan itu dalam bahasa Inggeris.

Pelancong asing: “Awak bukan orang Malaysiakan?”

Pekedai: “Ye betul. Saya hanya bekerja di sini. Sudah lama saya bekerja di sini.”

Pelancong asing: “Saya tertarik barangan itu (sambil menunjukkan satu barangan). Itu buatan Malaysia ke?”

Pekedai: “Ini buatan Vietnam. Saya boleh bagi harga lebih murah. Pilih, pilih. Banyak lagi barangan murah di sini. Termasuk dari China, Hong Kong dan Thailand.”

Pelancong asing: “Saya mahukan barangan Malaysia. Sia-sia saya datang ke sini jika tiada barangan Malaysia. Saya boleh sahaja dapat barangan dari Vietnam yang lebih murah sebab saya baru sahaja berkunjung ke Vietnam.”

Daripada perbualan tersebut, saya amat terkejut kerana banyak barangan luar (bukan buatan Malaysia) yang dijual di Pasar Seni. Juga terkejut kerana kini kios atau gerai-gerai di Pasar Seni juga ramai dikendalikan oleh bukan rakyat Malaysia.

Jadi, apa lagi Jabatan imigresen, cuba-cuba buat pemeriksaan mengejut untuk pastikan pekerja asing di Pasar Seni itu mempunyai dokumen yang sah.

Satu lagi contoh paling mudah di Pasar Seni ialah kurangnya promosi makanan tempatan sebaliknya makanan dari negara luar seperti Asia Barat dijual dan menjadi daya tarikan di Pasar Seni. Adakah makanan tempatan tidak layak berada di Pasar Seni?

Saya tidak salahkan peniaga bukan rakyat Malaysia yang menjual barangan bukan buatan Malaysia. Saya juga tidak salahkan sikap rajin peniaga bukan rakyat Malaysia itu yang tekun bekerja dan berjaya menarik hati pelanggan. Semuanya adalah silapnya orang kita dan diri kita sendiri.

Namun, bagi saya, perkara ini (pekedai warga asing, barangan bukan buatan Malaysia) perlu direnung kembali. Sudah tiba masanya pengurusan Pasar Seni melakukan sesuatu supaya lebih banyak barangan buatan Malaysia dipromosikan di situ. Juga sesuatu perlu dilakukan agar rakyat Malaysia sendiri bekerja di situ.

Perkara ini perlu difikirkan bersama. Cari kaedah terbaik dan penyelesaian yang muktamad.

WARGA TEMPATAN

Kuching, Sarawak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN