TANGGAL 9 Mei 2018, Barisan Nasional (BN) iaitu ikatan gagasan parti UMNO, MCA dan MIC serta parti-parti komponen dari Sabah dan Sarawak yang menggunakan lambang dacing, akhirnya berkecai.
Keputusan pilihan raya ke-14 itu ibarat bom atom menumbangkan sama sekali kerajaan yang berkuasa selama 60 tahun hingga menyebabkan para pemimpinnya kebingungan untuk mencari kembali kekuatan untuk bangkit.
Serangan bertali arus secara strategik terhadap ketua pakatan itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai tuduhan dan diheret ke mahkamah disusul pula dengan pembekuan akaun UMNO yang menjadi tonggak kepada pakatan itu menjadikannya semakin longlai.
Akhirnya parti-parti terbabit mula membawa haluan masing-masing dengan mengikut naluri sendiri semata-mata demi kelangsungan hidup parti. Di Sarawak pakatan baharu yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibentuk, manakala di Semenanjung Malaysia ia dibiarkan berjalan begitu sahaja.
Usaha untuk UMNO bekerjasama dengan Pas juga tidak menampakkan momentum sebagaimana yang diharapkan. Jelas dapat dilihat ketika ini berlangsung Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, UMNO hanya bergerak berseorangan.
Bahkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam seolah-olah berseorangan apabila nama-nama besar dalam UMNO sendiri tidak kelihatan cukup bersemangat untuk mengharungi medan pertarungan itu.
Isu ini pernah dibangkitkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker supaya satu usaha dilakukan bagi mencari hala tuju pakatan BN dan tidak boleh dibiarkan berjalan begitu sahaja. Setidak-tidaknya, kata beliau, keputusan bersama harus dibuat walaupun keputusan itu perit iaitu meninggalkan bahtera BN dan pada masa yang sama bersedia kembali bekerjasama pada masa hadapan apabila situasi lebih sesuai.
Pakatan Harapan sendiri sebelum memperolehi kejayaan bermula dengan Gagasan Rakyat dan kemudiannya bertukar kepada Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Mereka tidak pernah gagal untuk bangkit daripada kekalahan demi kekalahan dan akhirnya selepas puluhan tahun kejayaan milik mereka, walaupun rakan mereka Pas telah disingkirkan dan Semangat 46 sudah lama berkubur.
Difahamkan esok satu pertemuan para presiden parti yang pernah menganggotai Barisan Nasional akan diadakan dan diharapkan dapat mencari satu solusi kepada masalah itu serta menggariskan hala tuju yang dapat dijadikan landasan kebangkitan.
Kalau tidak mampu bangkit sebagai kerajaan pada pilihan raya akan datang, sekurang-kurangnya menjadi alternatif kepada rakyat untuk membuat pilihan serta bergantung harap untuk masa terdekat ini.










