SECARA tiba-tiba tanpa sebab dan alasan, tanpa isu yang berlegar, tiada tragedi yang berlaku, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam muncul dengan kenyataan menggesa kerajaan menutup pusat-pusat tahfiz.
Kalaulah matlamat kenyataan itu bertujuan untuk melakukan ‘provokasi’ sememangnya ia berjaya kerana pelbagai pihak kecewa kerana cadangan tersebut bukannya datang daripada kelompok bukan Islam sebaliknya seorang individu bergelar ‘Tokoh Wartawan’.
Jika ada mana-mana pihak yang mahu melihat pusat tahfiz di negara ini ditutup sudah pastilah mereka bergembira dengan kenyataan Zainuddin kerana bekas Ahli Parlimen Merbok tersebut yang kemudian tewas ketika bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani bagaikan melaksanakan misi mereka.
Tetapi soalnya apa dosa pusat-pusat tahfiz sehingga ia perlu ditutup? Apakah motif Zainuddin melontarkan cadangan yang membangkitkan kemarahan umat Islam ini? Apakah kerana terlalu teruja dengan era Malaysia Baharu maka segala-galanya mahu diubah atau ditutup dengan kuasa dimiliki?
Meneliti satu demi satu hujah Zainuddin bagi mempertahankan pendiriannya adalah jelas, beliau sebenarnya bercakap bukanlah berdasarkan kepada kajian teliti, apatah lagi melakukan tesis, sebaliknya hanya lebih banyak kepada andaian dan cerita orang.
Paling melucukan apabila Zainuddin berkata, semakin ramai memandang serong dan negatif terhadap sekolah tahfiz persendirian. Soalnya, siapakah kelompok ‘semakin ramai’ itu? Apakah latar belakang mereka? Atas dasar apa mereka berpendirian sedemikian?
Jika keburukan pusat-pusat tahfiz hanya bersandarkan kepada satu dua kes seperti mana dibentangkan oleh Zainuddin dalam tulisannya, lupakan sahaja. Penulis tidak menafikan ada pelajar diperalatkan untuk mengutip derma tetapi ia adalah kes terpencil seperti mana Zainuddin tafsirkan jumlah huffaz profesional yang dilahirkan oleh pusat-pusat tahfiz.
Begitu juga apabila bercakap soal penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pengendali sekolah, apakah di sekolah-sekolah kerajaan tidak berlaku kes seumpama itu? Sepatutnya kajilah dahulu sebelum membentangkan hujah sedemikian kerana ia boleh menyebabkan Zainuddin akan dilihat hanya melemparkan sahaja tuduhan tanpa usul periksa. Banyak membaca kes-kes mahkamah mungkin boleh membantu beliau dalam hal ini.
Penulis akui di sekolah-sekolah tahfiz bukan kerajaan banyak berlaku kes yang tidak sepatutnya akibat ustaz-ustaz tidak mempunyai pendidikan sempurna dan profesional seperti mana dikatakan oleh Zainuddin, tetapi soalnya adakah disebabkan berlaku satu dua kes yang ‘dianggap terpencil’ maka seluruh pusat tahfiz mahu ditutup?
Sebab itulah kita bersyukur apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa menolak cadangan Zainuddin dan mahukan beliau membuat homework. Sememangnya cadangan itu tepat kerana berdasarkan hujah Zainuddin, beliau bak kata orang ‘main belasah’ sahaja, hanya disebabkan berlaku kes-kes terpencil di pusat tahfiz.
Malah penulis juga hairan daripada siapakah Zainuddin mendapat cerita apabila tergamak menulis “ibu bapa yang telah berjaya dalam hidup termasuk dalam kalangan profesional menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz dengan kepercayaan mempunyai anak huffaz akan membantu membasuh dosa mereka dan jika mati, mayat tidak akan hancur”.
Bagi penulis, ia adalah satu tuduhan yang berat dan kalau benar berlaku, Zainuddin perlu membuktikannya. Bukanlah hak kita untuk membaca niat orang, apatah lagi melemparkan tuduhan sedemikian. Lagipun dalam Islam, kita disuruh melahirkan anak yang soleh seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” – (hadis riwayat Muslim).
Malah Zainuddin juga sepatutnya lebih berhati-hati dalam melahirkan ‘kegelisahannya’ terhadap pusat-pusat tahfiz termasuklah seolah-olah dilihat memperlekehkan bahasa Arab dan menganggap penguasaan bahasa Inggeris yang baik boleh meninggikan martabat orang Islam di negara sendiri.
Kalaulah penguasaan bahasa Inggeris menjadi sandaran, bagaimana dengan kegagalan ribuan graduan yang tidak mendapat pekerjaan disebabkan tidak mampu menguasai bahasa itu? Adakah kesemua graduan tersebut belajar di pusat-pusat tahfiz atau melanjutkan pelajaran di universiti yang menekankan penggunaan bahasa Arab?
Penulis memahami Zainuddin adalah penyokong tegar kepada kerajaan sekarang tetapi janganlah berhujah atau melemparkan pandangan yang seolah-olah menunjukkan kerajaan terdahulu tidak melakukan apa-apa bagi memperbaiki taraf pendidikan dan kualiti pusat tahfiz atau sekolah tahfiz.
Sebab itulah, penulis berpendapat, dalam menulis atau mengemukakan cadangan yang drastik seperti mahu sekolah tahfiz ditutup ia tidak boleh dibuat ketika sedang ‘pekena teh tarik’ sebaliknya perlu membuat kajian mendalam.
Penulis tidak perlu menyenaraikan apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan terdahulu dalam memartabatkan sekolah berkenaan dan langkah yang dilaksanakan apabila terjadi sesuatu isu melibatkan sekolah tahfiz.
Seburuk-buruk kerajaan terdahulu, mereka tidaklah ‘buta atau pekak’ dalam soal berkenaan sebab itulah terlahirnya sekolah-sekolah berasrama penuh Ulul Albab, Universiti Al-Quran dan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara. Malah sebanyak RM80 juta disalurkan bagi memperkukuhkan Sekolah Pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Institusi Tahfiz Berdaftar.
Justeru adalah lebih baik kepada sesiapa juga, buatlah kajian mendalam sebelum membicarakan soal-soal yang bukan bidang kita apatah lagi jika ia berkaitan orang Melayu dan kepentingan Islam. Janganlah sampai kita dilihat ‘jahil’ dalam berhujah, biarpun bertaraf ‘tokoh’.











