Anwar tanding Presiden - Utusan Malaysia

Anwar tanding Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Julai – Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertan­ding jawatan Presiden da­lam pemilihan PKR Ogos ini bakal merubah senario politik parti itu sekali gus dijangka akan memperlihatkan keputusan-keputusan menarik dibuat oleh kepemimpinan parti tersebut.

ANWAR IBRAHIM

Jika sebelum ini PKR hanya ‘memegang’ satu negeri iaitu Selangor, situasi pemilihan kali ini mempunyai perspektif yang jauh berbeza apabila PKR kini merupakan parti yang berkuasa di peringkat pusat melalui Pakatan Harapan dan kedudukan PKR sebagai parti teras dalam Pakatan Harapan sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap parti komponen gagasan tersebut.

Anwar yang mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden PKR melalui laman Twitternya berkata, beliau akan mengemudi parti itu selepas selesai Kongres Nasional Keadilan pada November ini sekiranya mendapat mandat daripada akar umbi di seluruh negara dalam pemilihan parti.

“Setelah berbincang dengan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Pre­siden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kepemimpinan serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan parti, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden,” katanya.

Pelbagai tanda tanya berke­naan jawatan-jawatan tertinggi dengan pengumuman Anwar untuk bertanding sebagai Presiden antaranya jawatannya sekarang selaku Ketua Umum PKR, iaitu jawatan yang ‘diwujudkan’ untuk beliau pada 2008 tanpa sebarang pemilihan.

Sekiranya Anwar berjaya memenangi jawatan Presiden PKR, jawatan Ketua Umum yang sememangnya tidak wujud dalam perlembagaan parti itu tidak akan dipertandingkan dan persoalannya, siapa yang layak menggantikan Anwar untuk jawatan tersebut atau jawatan itu akan ‘mati’ selepas Anwar melepaskannya?

Jika dilihat secara dasar, Wan Azizah yang memegang jawatan sebagai Presiden PKR sejak 1999 tidak akan memegang sebarang jawatan sekiranya suaminya berjaya dalam pemilihan Ogos ini.

Jadi adakah PKR akan membiarkan Wan Azizah memegang status ahli biasa parti? Sama ada Wan Azizah akan menggantikan tempat suaminya sebagai Ketua Umum atau tidak, masih menjadi tanda tanya.

Satu lagi persoalan yang menarik adalah apakah ‘nasib’ Mohamed Azmin yang dijangka akan bertanding jawatan Presiden PKR dalam pemilihan kali ini.

Adakah sejarah akan berulang kembali apabila beliau terpaksa menarik diri daripada bertanding jawatan tertinggi itu bagi memberi laluan kepada Anwar se­perti yang terjadi dalam pemilihan 2014 yang mana akhirnya Anwar mengumumkan menarik diri sekali gus memberi kemena­ngan mudah kepada Wan Azizah untuk mempertahankan jawatan Presiden PKR?

PKR sejak penubuhannya se­ring dimomok-momokkan de­ngan panggilan ‘parti anak-beranak’ apabila Anwar memegang jawatan sebagai Ketua Umum, Wan Azizah sebagai Presiden dan anak mereka, Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden parti.

Sekiranya Azmin memberi la­luan kepada Anwar untuk bertanding jawatan Presiden pada pemilihan kali ini, beliau dijangka akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang dipegang kini.

Persoalannya adakan Nurul Izzah akan tetap bertanding jawatan Naib Presiden atau kali ini akan mencabar Mohamed Azmin untuk jawatan Timbalan Pre­siden, sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa PKR adalah ‘parti kekeluargaan’?

Banyak pihak juga menjangkakan setelah Anwar mengukuh­kan kedudukannya di dalam parti dengan memenangi jawatan Presiden, Wan Azizah akan memberi laluan kepada beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Ini dilihat cara paling sesuai untuk Anwar kembali semula ke arena politik tanah air sekali gus mempersiapkan diri untuk mengambil alih kerajaan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, jawatan yang dijanjikan kepadanya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lepas.

Secara rumusan, keputusan Anwar untuk bertanding jawatan Presiden PKR jelas akan merubah senario politik parti itu, Pakatan Harapan malah landskap politik tanah air sendiri.

Sama ada semua akan berjalan lancar atau akan ada pergolakan kecil di sini dan sana, kesepakatan dalaman parti itu memainkan peranan paling penting dalam memastikan tiada yang akan terpinggir dan kata putus dapat dicapai dengan persetujuan semua.

Kepemimpinan PKR perlu sedar bahawa mereka sekarang adalah parti yang berkuasa di pe­ringkat pusat dan rakyat sedang menilai setiap keputusan yang dibuat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN