Anwar nafi Tun M guna Azmin sekat pengaruh beliau - Utusan Malaysia

Anwar nafi Tun M guna Azmin sekat pengaruh beliau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 31 Julai – Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak desas-desus kononnya pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam Khazanah Nasional Berhad merupakan langkah untuk menyekat pengaruh beliau dalam Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan.

Ketika ditemui di sini malam ini, Anwar sebaliknya mahu semua pihak tidak menganggap pelantikan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu dalam konteks politik, tetapi lebih kepada soal kepentingan negara. 

“Saya fikir kita tidak perlu menterjemahkan langkah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai pelantikan jawatan dalam Khazanah dalam konteks politik, beliau ada sebab sendiri. 

“Beliau memikirkan kepentingan negara dan institusi. Jika saya sekalipun, saya juga perlu membuat keputusan mengenai perkara yang menjadi keutamaan dan mengikut cara saya,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei di Setia Alam, di sini malam ini. 

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni. 

Dalam perkembangan lain, Anwar ketika ditanya pandangannya mengenai khabar angin berhubung pertandingan jawatan Presiden dalam pemilihan PKR pada Ogos ini, beliau memaklumkan ia belum disahkan secara rasmi setakat ini. 

“Kita tidak boleh layan desas-desus kerana belum ada keputusan yang sah. Azmin ada jumpa saya di Istanbul, Turki, tetapi beliau tidak pernah bangkit soal pemilihan. 

“Belum sah ada pertandingan atau tidak. Kalau ada pertandingan pun, kita kena hormati peraturan dan etika dan saya percaya Jawatankuasa Pemilihan PKR akan pastikan perkara itu dipatuhi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN