JOHOR BAHRU 15 Julai – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon yang sesuai untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan datang.
Pengerusi PKR negeri, Hassan Abdul Karim berkata, ini berdasarkan berdasarkan pengaruh, keupayaan serta pengalaman yang dimiliknya untuk menggalas jawatan berkenaan.
“PKR Johor menyokong penuh keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti. Banyak kebaikan yang kita dapat lihat sekiranya beliau
dilantik menjadi presiden untuk kali ini.
“Tambahan pula, beliau juga merupakan ketua umum parti malah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik mahupun pentadbiran negara,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini Anwar yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh mengumumkan akan bertanding bagi jawatan presiden bagi pemilihan PKR akan datang.
Menurutnya, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan presiden yang juga isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali serta kepimpinan lain. – UTUSAN ONLINE










