SEKARANG ini, di sana sini bau durian. Dalam rumah bau durian, dalam kereta dan di pejabat pun ada bau durian. Bukan setakat itu, dalam media sosial juga, sama ada Facebook atau Instagram ramai yang memuat naik gambar durian. Kalau tidak buah durian, buah manggis.
“Hah dah habis ‘up’ gambar durian?” Itu status seorang pemilik akaun Facebook, Abang Rezal, yang memuat naik gambar dirinya bersantai di atas bukit membuat saya tergelak membacanya kerana tidak ada kena mengena dengan buah durian.
Memang, melayari media sosial ketika ini, kira-kira 80 peratus memuat naik gambar durian. Begitulah pengaruh dan kegilaan terhadap durian agaknya. Tenggelamlah sekejap sembang-sembang politik yang asyik mencari salah di media sosial. Itu yang bagusnya.
Hakikatnya, durian amat digemari oleh kebanyakan orang di negara ini. Bila musim durian, hujung minggu, jalan raya menuju kampung-kampung dan dusun-dusun jadi sesak. Masa itulah, ramai yang balik ke kampung, sebab hendak angkut buah durian. Yang jarang-jarang sekali balik ke kampung pun sanggup menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya. Kalau tidak, tak nampak batang hidung.
Yang ada kawan-kawan mempunyai dusun durian, masa itulah mereka ini dicari. Sebelum ini tanya khabar pun tidak. Inikan pula datang bertandang ke rumah. Bila musim durian, mesra lain macam pula. Buah bermusim, adakah perangai yang baik juga bermusim?
Yang saya hendak cerita di sini, bukanlah pasal durian sangat. Saya tidak begitu gemar buah itu. Bolehlah makan seulas dua. Tetapi saya hendak cakap pasal perangai dan kesungguhan ikut musim.
Yalah, hari ini nampak sangat bersungguh-sungguh. Bila sudah dapat apa yang diinginkan, batang hidung pun tak nampak. Macam sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 hari itulah. Hari-hari boleh turun padang, tak panggil pun datang. Tak suruh potong rumput pun, dia pergi potong. Mana saja orang sakit, dia tahu saja mana rumahnya dan datang menziarahi, tetapi sekarang ini kita hendak menghadap dia cukup payah pula. Tak kiralah yang menang atau kalah. Nampaklah main wayangnya.
Dalam memperjuangkan sesuatu isu pun, ikut musim juga. Kalau kemalangan jalan raya berlaku yang meragut banyak nyawa, banyak pihak termasuk persatuan dan pemimpin memberikan cadangan itu dan ini. Menyaring pemandu bas atau lori supaya bebas dadah misalnya, beberapa bulan selepas itu, ada lagi kes pemandu di bawah pengaruh dadah hilang kawalan, langgar kenderaan lain, ramai nyawa terkorban. Bising-bising lagi macam sebelumnya kemudian senyap kembali ikut musim.
Usahawan pun ada yang bermusim. Mula-mula bukan main lagi dia menjual sesuatu produk. Rajin betul dia memuat naik gambar produk-produk jualannya dalam akaun media sosial. Followers pun jadi ramai. Bila dah ada pelanggan tetap, bisnes tak berapa jalan pula. Sedangkan, produk itu memang laris di pasaran.
Mulalah bagi alasan pada pelanggan, tiada stok. Walhal, semangat meniaga sudah hilang. Mungkin sebab rasa lambat hendak jadi kaya. Tak sabar dengan kerenah pelanggan yang komplen itu ini. Akhirnya, Facebook atau Instagram yang dibuka khusus untuk jualan online ini jadi sarang labah-labah.
Dalam kerja pun begitu juga. Buatlah apa-apa yang dikatakan penambahbaikan. Orang lain hendak buat penambahbaikan, kita pun hendak buat. Musim penambahbaikanlah katakan. Masa mula-mula ikut saja semuanya. Bila dah lama, akhirnya semua balik ke asal.
Sama jugalah, masa bulan Ramadan dulu, semua bersungguh-sungguh jaga kelakuan. Tidak mahu melakukan perkara-perkara yang mengurangkan dan membatalkan puasa. Amal ibadat pun berlipat ganda daripada sebelumnya.
Rajin membaca al-Quran, rajin melakukan solat-solat sunat dan bersedekah. Tetapi masuk saja bulan Syawal, semuanya kembali ke asal. Kembali ‘membawang’ dan solat pun ada yang tinggal kerana lebih utamakan kerja.
Musim durian dan musim rajin tunjuk kesungguhan, memang tak sama. Langsung tak sama. Sebabnya, durian sedap pada penggemarnya manakala yang hanya teruja dan bersungguh-sungguh mengikut musim ini selalu beri kita semak kepala.









