KUALA LUMPUR 14 Julai – Kepemimpinan tertinggi UMNO yang baru dilantik hari ini berikrar untuk bekerjasama dengan semua pihak dan melakukan pelbagai perubahan yang menyeluruh demi membina semula parti terbesar orang Melayu itu.
Setiausaha Agung UMNO yang baharu, Tan Sri Annuar Musa berkata, perubahan itu perlu dilakukan supaya UMNO terus menjadi landasan dan pilihan utama orang Melayu, bumiputera dan Islam di negara ini dalam pelbagai aspek.
“Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana melantik saya untuk memikul tugas yang sangat berat dan mencabar ini.
“Saya akan bekerjasama dengan semua pihak demi kesempurnaan tugas yang diamanahkan agar perjuangan parti terus menjadi satu wadah bangsa dalam proses membina negara yang aman, makmur, harmoni dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin dalam memikul tanggungjawab tersebut, justeru mengharapkan kerjasama daripada semua pihak.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, semua ahli UMNO di pelbagai peringkat perlu bekerjasama kerana banyak pihak mahu melihat UMNO bangkit semula seterusnya menjadi parti yang terus membela perjuangan orang Melayu.
“Saya belum boleh memaklumkan apa yang patut atau perlu saya lakukan buat masa ini kerana saya perlu mendapat pandangan dan gambaran keseluruhan mengenai tanggungjawab baru ini.
“Tetapi percayalah, sebagai parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu dan bumiputera, UMNO akan terus mendengar kehendak dan suara mereka meskipun tidak lagi berkuasa,” katanya.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu manakala jawatan Bendahari UMNO pula disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menerusi kenyataan akhbar Presiden UMNO yang dikeluarkan di sini hari ini, Shamsul Anuar dilantik sebagai Ketua Penerangan dan Datuk Mohd. Sumali Reduan sebagai Setiausaha Kerja UMNO.










