Annems sasar 150 syarikat sertai program BSS - Utusan Malaysia

Annems sasar 150 syarikat sertai program BSS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI 9 Julai – Institusi pendidikan keusahawanan, Annems Leadership Solution (Annems) menyasarkan 150 buah syarikat menyertai program Business Sustainability Solution (BSS) anjurannya pada tahun ini.

Presiden Annems, Datuk Faridah Hanim Haron berkata, penganjuran program tersebut bertujuan menjadikan sesebuah syarikat lebih kukuh, berdaya saing dan mencatat pertumbuhan dengan potensi menggalakkan untuk jangka masa panjang.

“Sehingga kini sebanyak 25 buah syarikat telah menyertai program ini sejak diperkenalkan September tahun lalu.

“Program ini dikhususkan untuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera yang telah mencatat pendapatan secara purata lebih daripada RM50,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen BSS di sini, semalam.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan selama sembilan bulan dan dengan bayaran sebanyak RM25,000 untuk sebuah syarikat dan boleh dibayar secara ansuran oleh pengusaha terlibat.

Faridah Hanim menambah, berdasarkan kajian pihaknya sepanjang lima tahun pertama operasi sesebuah PKS bumiputera, pemiliknya bersemangat dan memiliki momentum yang teguh untuk menjana pendapatan syarikat.

“Justeru, kita menyediakan formula khusus melalui kursus ini untuk pengusaha PKS dapat mengekalkan kestabilan syarikat.

“Untuk sebuah syarikat terus mencatat pertumbuhan berterusan, ia memerlukan formula terancang untuk pelan jangka panjang, aspek budaya kerja, kepimpinan dan modal insan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN