ALOR SETAR – Timbalan Menteri Kewangan yang baharu, Datuk Amiruddin Hamzah akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah dalam masa terdekat.
Beliau selaku pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan Negeri, Industri dan Pelaburan serta Agama berkata penggantinya bagi mengisi jawatan itu akan ditentukan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
“Saya akan lepas jawatan (Exco) dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Amiruddin berkata, selepas majlis pelantikan dan istiadat angkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini, beliau sempat memasuki pejabatnya dan mendengar taklimat ringkas daripada pegawai selain berjumpa dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Esok saya akan masuk ke pejabat sebelum pulang ke Kedah untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada Rabu ini,” katanya.
Pada 22 Mei lepas, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Exco kerajaan negeri di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah. – Bernama











