Amiridzwan, Piya kecewa ‘diperam’ - Utusan Malaysia

Amiridzwan, Piya kecewa ‘diperam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ‘me­meram’ dua tonggak berpengalaman Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd. Badhri Radzi atau Piya disifatkan telah ‘membunuh’ perjalanan karier pemain berkenaan.

Amiridzwan berkata, lebih memburukkan keadaan dia dan Piya sudah lama tidak menjalani latihan bersama selepas digugurkan daripada pasukan pada April lalu.

“Tindakan gantung tak bertali oleh KAFA dengan tidak memanggil kami untuk menjalani latihan bersama pasukan ketika ini menyulitkan masa depan saya serta Piya memasarkan diri bagi saingan musim depan.

“Sekurang-kurangnya, jika kami menjalani latihan bersama The Red Warriors (TRW) pasukan lain dapat membuat pemantauan sekiranya mereka berminat untuk mendapatkan khidmat musim depan,” katanya.

Tambahnya, ketika ini dia hanya menghabiskan masa dengan mengadakan latihan ringan secara bersendirian bagi mengekalkan tahap kecergasan.

Katanya, latihan ringan itu merupakan jalan terbaik yang diambil kerana masih lagi menghormati baki kontrak bersama KAFA.

“Sekurang-kurangnya, kalau KA­FA tamatkan kontrak, kami dapat menumpang berlatih dengan mana-mana pasukan.

“Buat masa ini, saya masih sedia untuk berbincang dengan KAFA bagi menyelesaikan perkara tersebut dengan baik,” katanya.

Amiridzwan berkata, dia dan Piya masih belum memikirkan untuk bersara daripada lapangan bola sepak kerana kudrat mereka masih kuat untuk bersaing dengan mana-mana pemain dalam pasukan TRW musim ini.

“Kudrat kami masih mampu dicurahkan kepada mana-mana pasukan yang berminat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN