KUALA LUMPUR 6 Julai – Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKATAHAP) mengucapkan tahniah di atas pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar, Dr. Azfar Mohamad Mustafar sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis yang baharu.
Presidennya, Zin Azran Mansor berkata, persatuan berbangga dengan pelantikan tersebut yang telah mengharumkan nama sekolah dan sekaligus membuktikan bekas pelajar aliran agama mendapat pengiktirafan negara.
“Alumni SMKATAHAP yakin Dr. Azfar mampu menggalas tanggungjawab mewakili negara di Perancis, sebuah negara penting dalam Kesatuan Eropah.
“Lebih-lebih lagi dengan pengalaman beliau sebelum ini iaitu sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim di Kementerian Luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Dr. Azfar, 47, menerima watikah pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara bersama sembilan lagi ketua perwakilan Malaysia ke luar negara.
Dr. Azfar merupakan anak jati Pahang dan merupakan kumpulan pertama pelajar SMKATAHAP yang dibuka pada 1984 di Jerantut, Pahang.
Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1996 dan pernah memegang beberapa jawatan termasuk Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Maritim dari tahun 2011 hingga 2015 serta Ketua Penolong Setiausaha (Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antarabangsa) dari tahun 2008 hingga 2009. – UTUSAN ONLINE










