LONDON 19 Julai – Penjaga gawang Roma, Alisson dijangka tiba di England untuk melengkapkan perpindahan bernilai 67 juta pound (RM355.5 juta) ke Liverpool.
Selepas mengemukakan tawaran 62 juta pound (RM329.04 juta), skuad kendalian Jurgen Klopp segera menyatakan persetujuan dengan pakej perpindahan 67 juta pound (RM355.5 juta) untuk khidmat penjaga gawang Brazil itu.
Alisson yang sedang bercuti di Sardinia selepas aksi Piala Dunia bersama Brazil, memendekkan percutiannya bagi melengkapkan perpindahan ke Anfield.
Semalam, Alisson mengambil penerbangan daripada Lapangan Terbang Ciampino ke Manchester dan akan menaiki kenderaan khas ke Liverpool.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada peminat Roma dan sudah tiba masanya untuk pengembaraan baharu,” kata Alisson kepada ForzaRoma di Lapangan Terbang Ciampino.
Alisson akan melakukan ujian kesihatan bersama Liverpool dan peprindahan itu akan dilengkapkan pada hujung minggu ini.
Pemain berusia 25 tahun yang menjadi buruan Chelsea bagi menggantikan Thibaut Courtois akan menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Liverpool.
Dia akan menjadi pemain keempat yang ditandatangani Liverpool pada musim panas ini selepas Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri.-AGENSI










