Alisson jadi pelengkap skuad The Reds - Utusan Malaysia

Alisson jadi pelengkap skuad The Reds

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL – Penjaga gol antarabangsa Brazil, Alisson Becker melengkapkan perpindahannya ke Liverpool daripada AS Roma dengan yuran perpindahan meme­cah rekod dunia sebanyak £67 juta (RM354.69 juta) awal pagi semalam.

Yuran perpindahan Alisson itu merupakan rekod baharu bagi seorang penjaga gol sekali gus memintas nilai €53 juta (RM251.08 juta) yang dibayar Juventus untuk mendapatkan Gianluigi Buffon pada 2001 dan perpindahan Ederson bernilai €40 juta (RM189.49 juta) daripada Benfica ke Manchester City musim lalu.

Persetujuan tersebut menyaksikan Liverpool perlu membayar pendahuluan berjumlah £58 juta (RM307.06 juta), manakala bakinya secara ansuran £9 juta (RM47,65 juta) dengan jumlah keseluruhan yang diminta Roma berjumlah £67 juta.

Sementara itu, pemain berusia 25 tahun itu bersetuju menandatangani kontrak jangka panjang bersama The Reds selepas pemeriksaan perubatan di Melwood.

“Saya sangat gembira, ia merupakan impian menjadi kenyataan untuk menyarung jersi untuk kelab bersaiz besar, berprestij dan selalu menginginkan kemenangan.

“Dari segi kehidupan dan karier, ini merupakan langkah besar untuk saya menjadi sebahagian daripada kelab dan keluarga ini. Anda boleh yakin bahawa saya akan memberi segala-galanya,” kata Alisson.

Alisson merupakan pemain baharu yang keempat ditandatangani pengurus, Jurgen Klopp selepas kehadiran Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri di Anfield.

Sementara itu, Klopp percaya kehadiran Alisson mampu menjadi tonik tambahan buat pasukan itu menjelang musim baharu Liga Perdana England (EPL).

“Pemilik kelab sangat gembira dan teruja selepas kami berjaya membawa masuk Alisson. Saya fikir urusan ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan.

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenai tanda harganya ke­rana itulah harga pasaran sekarang. Saya harap orang tidak menjadikan harganya sebagai isu kerana kami langsung tidak fikirkan mengenai­nya,” kata Klopp. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN